Kelas Semi Hands On di Teratak Chetam

Tawaran Istimewa Sempena Teratak Chetam berada di Batu 5, Simpang

Yuran serendah RM100.00 untuk kelas grup dan RM200.00 untuk kelas personal bagi modul berikut:

Aneka Buns
Cream Puff, Enclairs, Fruit Puff
Aneka Tartlets
Takoyaki
Pastri Basket dan Tart Bentuk Buah
Muffins
Sponge Cake utk deko guna whipping cream dan cheese leleh
Cup cakes dan deko

Untuk kelas personal, sila sms atau wassup utk tetapkan tarikh. Anda boleh pilih tarikh anda sendiri dan juga kelas yang anda ingin belajar. Yuran adalah berlainan dari kelas semi hands on.

Lokasi : Batu 5, Simpang, Perak
Landmark : Gerai Lemang dan Gerai Air Jambu Batu di depan rumah
Hubungi : 011-27046007 (sms/wassup)


July 12, 2005

Aneka Mee, Bihun dan Kuay Teow

Assalamualaikum Sumer
Sori lama tak post resepi. Sibuk giler......Kali ni Chetam nak kongsi resepi-resepi Mee, Bihun dan Kuay Teow yang Chetam simpan dalam pc Chetam.

Mee Bandung dr twilightpurplue(OnTheMenus)

500 gm mee kuning (dicelur)
300 gm daging (dipotong)
300 gm daging ayam (dipotong)
300 gm udang
200 gm tauge
Garam & minyak masak
2 sudu besar cili kisar
3 ulas bawang putih (ditumbuk)
5 ulas bawang merah (ditumbuk)
1 mangkuk stok ayam
4 sudu besar sos tomato
4 sudu besar kacang tanah (ditumbuk halus)
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
1 biji limau kasturi
1 biji telur
Sedikit sawi, cili merah, daun sup & daun bawang (dihiris)

Cara:
Panaskan minyak masak dalam periuk. Tumiskan bawang putih, bawang merah & cili kisar hingga garing. Masukkan stok ayam & biarkan mendidih. Kemudian masukkan sos tomato, sos cili, sos tiram & garam. Biarkan merenih perlahan-lahan. Seterusnya, masukkan kacang tanah, udang, ayam, sawi, telur & masak selama 2 minit.

MEE/ BIHUN/ KWAY TEOW SUP TULANG dr Aida(ResepiNet)
(hidangan 4 -5 org) - Sumber : Alaf 21

1.5 kg tulang lembu
2.5 liter air
3 camB. minyak
5 cm lengkuas (ditumbuk kasar)
2 batang serai (diketuk)
2 kuntum bunga lawang (2 kelopak ditumbuk)
6 kuntum bunga cengkih
15 ulas bawang merah} dihiris & digoreng berasingan
5 ulas bawang putih } sampai perang
1 camt. serbuk lada hitam
gula & garam secukupnya

BAHAN SAMPINGAN
4 keping mee telur (dicelur lembut)/mm/bihun/kway teow
500 g perut lembu (direbus & dihiris)
300 g. tauge (dibuang ekor & dicelur)
6 tangkai daun bawang} dihiris
6 tangkai daun sup }
2 biji telur (direbus)

BAHAN SOS CILI PADI
8-10 biji cili padi } dikisar
2 biji cili hijau }
3 camB. kicap manis
garam & gula secukupnya

1. Jerang tulang dengan air hingga hampir mendidih.
2. Panaskan minyak, tumis lengkuas, serai, bunga lawang dan bunga cengkih selama 1 minit.
3. Masukkan ke dalam air tadi. Bubuh pula garam dan gula. Biar hingga menggelegak dan renihkan hingga tinggal 1.5 liter.
4. Bubuh 1/3 bawang merah goreng dan serbuk lada hitam ke dalam sup. Biar merenih selama 5 minit lagi. Tambah garam jika perlu.
5. Untuk membuat sos cili padi, campurkan cili kisar dengan kicap, sedikit garam dan gula.
6. Untuk menghidangkannya, bubuh mee ke dalam mangkuk. Letak perut, taugeh, daun bawang, daun sup dan telur.
7. Curahkan sup kemudian taburkan bawang merah dan bawang putih goreng.

MEE GORENG MAMAK dr Diana(ResepiNet)

500 g mee kuning
200 g daging kambing, dihiris nipis }
1 camt kicap manis } diperap 1 jam
1 camt kicap pekat }
1/4 camt serbuk lada hitam }
60 ml minyak
10 ulas bawang merah, dihiris nipis
1 labu bawang besar, dihiris nipis
8 batang sawi, dipotong 3 cm
300 g taugeh, dibuang ekor
2 biji telur
2 tangkai cili hijau, dihiris menyerong
6 camb sos tomato
2 biji kentang, dikupas, direbus dan hiris 1/2 cm
5 tangkai daun bawang, dicincang
garam secukupnya

bahan perisa
2 camb kicap pekat
1-2 camt serbuk cili
2-3 camb air

Goreng bawang merah dalam minyak panas hingga keperangan, angkat dan sejatkan minyaknya. Goreng bawang besar hingga wangi, masukkan kambing dan kacau separuh masak. Bubuh sawi, bahan perisa dan air (utk mengempukkan kambing). Bubuh pula mee, taugeh dan telur. Kacau dan tambah garam. Akhir sekali, masukkan cili, sos tomato, buah tomato dan kentang. Sajikan dengan bawang goreng dan daun bawang.

MEE HAILAM dr Asfar(OnTheMenus)

1 kg mee kuning
300 gm daging - potong dadu
3 ekor sotong - potong nipis
300 gm udang
300 gm sawi
4 ulas bawang puting - tumbuk
2 cm halia - tumbuk
1 sudu besar lada sulah - tumbuk
air rebusan daging
garam secukup rasa

Tumis bahan tumbuk hingga naik bau. Masukkan air rebusan daging. Apabila mendidih sedikit, masukkan daging,sotong dan udang.Biar sebentar. Masukkan mee kuning tadi. Kacau sebati.
Masukkan sawi yang telah dipotong. Biar kuah agak pekat.

MEE HONGKONG dr Asfar(OnTheMenus)

600 gm mee kuning
100 gm daging - potong dadu
100 gm sotong - potong nipis
100 gm udang - buang kulit
100 gm hati ayam
100 gm isi ikan
2 ulas bawang putih - mayang
1.2 cm halia - hiris halus
sedikit sawi
1 biji tomato
4 cawan air
garam secukup rasa

Tumis bawang putih dan halia. Masukkan air. Apabila mendidih sedikit, masukkan daging,sotong, udang, hati ayam dan isi ikan.
Biar sebentar. Masukkan mee kuning tadi. Kacau sebati. Masukkan sawi dan tomato yang telah dipotong. Biar kuah agak pekat sedikit.

Mee Kari dr Shajeni(ResepiNet)

Minyak untuk menumis
10 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 cm halia
1 bungkus kecil rempah kari
2 sudu besar cili boh
1 ekor ayam
8 cawan santan dari sebiji kelapa
Garam secukup rasa
Mee kuning dicelur
Tauge dicelur
Isi ayam disiat-siat
Tauhu digoreng dan dipotong kecil
Tauhu kering
Bebola ayam
Daun sup
Daun bawang
Bawang goreng
Telur rebus
Cili hijau
Cili merah

1. Panaskan minyak di dalam periuk.
2. Kisar bawang merah, bawang putih dan halia. Tumis bahan-bahan kisar, rempah kari dan cili hingga wangi.
3. Masukkan ayam, santan dan garam. Masak hingga daging ayam empuk. Apabila ayam empuk keluarkan dan siat-siat isi ayam.
4. Bubuh mee ke dalam mangkuk. Letakkan tauge, isi ayam, tauhu goreng, daun sup, daun bawang, bawang goreng, telur rebus, cili hijau dan cili merah.

MEE KURMA dr Lanee Abdul(OnTheMenus)

200 gm mee kuning - celur
50 gm rempah kurma
15 gm bawang merah - tumbuk
10 gm bawang putih - tumbuk
10 gm halia
5 gm buah pelaga
5 gm kulit kayu manis
250 gm santan
15 gm jus limau nipis
10 gm taugeh - untuk hiasan
20 gm daging - rebus dan hiris untuk hiasan
15 gm daun ketumbar - dihiris untuk hiasan
garam secukup rasa

Tumis bahan tumbuk bersama halia, buah pelaga dan kayu manis.
Masukkan rempah kurma dan biarkan hingga naik minyak.
Masukkan santan dan biarkan mendidih dengan api perlahan. Rasa
garam. Padamkan api dan masukkan jus limau nipis. Kemudian buat seperti biasa masukkan mee dalam mangkok dan seterusnya.........

MEE PALEMBANG dr Diana(ResepiNet)
Sumber: Adidah Anang

1 kg mee kuning yang lebar
300 g sawi
150 g daging cincang
150 g udang hidup, dibuang kulitnya
150 g sotong, dihiris
8 biji bawang merah, dihiris
4 sudu makan lada kisar
4 sudu makan sos tomato
secukup air rebusan daging
secukup minyak
garam secukup rasa

*bahan dibawah ini dikisar
2 cm halia
5 biji bawang merah
1 sudu teh lada putih

Untuk hiasan
lada jeruk
hirisan telur dadar/ daun sup/ daun bawang
bawang goreng

Caranya
Tumis bawang hiris sehingga wangi. Masukkan rempah kisar dan biarkan sehingga rempahnya garing sedikit. Masukkan sotong dan daging. Biarkan sebentar. Apabila lembut, masukkan pula udang. Gaul rata dan bila udangnya masak, baru masukkan sos tomato, mee, sawi dan garam. Balik-balikkan sehingga rata dan masak. Jika kekeringan, masukkan sedikit air rebusan. Hidangkan dengan lada jeruk, telur dadar, bawang goreng dan hirisan daun sup/ daun bawang.

MEE PEDAS dr Diana(ResepiNet)
Sumber: Faridah Begum Abdul Shukoor

1 kg mee kuning, dibilas dan toskan
1/2 kg daging rusuk (kambing/lembu)
1/4 kg udang hidup, kupas kulitnya dan tinggalkan ekornya
1/4 kg sotong, dihiris
2 biji tomato, dibelah 4
1/4 cawan sos tomato, kalau suka
1/2 cawan kicap manis
garam secukup rasa

daun sawi, kalau suka dipotong-potong
bawang goreng
hirisan daun sup dan daun bawang
minyak

*bahan dibawah ini dikisar
10 biji bawang merah
5 biji bawang putih
1/2 jari halia
10 biji lada merah
10 biji lada padi
2 sudu makan lada hitam biji

Caranya

Daging direbus untuk mendapatkan stoknya. Airnya bergantung kepada cita rasa masing-masing. Panaskan minyak didalam periuk dan tumis bahan kisar sehingga wangi sahaja. Jika tumis terlalu garing rasa pedasnya akan berkurangan. Masukkan secukup air rebusan dengan dagingnya sekali. Masukkan juga udang, sotong, sos tomato, kicap dan garam. Biarkan mendidih sehingga sotongnya lembut. Kemudian masukkan sawi, tomato dan mee. Gaul rata. Hidangkan panas-panas dengan bawang goreng, hirisan daun sup dan daun bawang.

Mee Pekan dr Diana(ResepiNet)

2 kilo Mee kuning
2 kilo Taugeh
1 kilo Mee hoon
1 kilo Daging cincang
½ kilo Sotong basah
½ kilo Sawi
½ kilo Udang
½ cawan Minyak
Sedikit Garam
6 biji Buah keras )
3 biji Bawang putih )
3 biji Bawang besar ) dikisar
1 sdt Lada putih )
30 tangkai Lada kering )

Bahan hiasan
2 biji Kentang goreng
2 keping Tahu digoreng dan didadu
1 biji Timun Potong memanjang
5 batang Lada merah Dihiris
5 biji Limau kasturi Dibelah dua
Telur dadar
Daun salad
Bawang goreng

Cara Cara
1 Panaskan minyak. Tumis bahan kisar sehingga wangi.
2 Masukkan daging, sotong, udang, sawi, taugeh dan mee. Goreng hingga sebati.
3 Setelah masak, angkat dan taburkan bahan hiasan diatasnya.

Mee Rebus atau Mee kuah dr Ariza Yusof(OnTheMenus)
(untuk 4 orang makan)

Mee / Meehoon
3 biji bawang merah (dihiris nipis)
3 ulas bawang putih (dihiris nipis)
2 keping tauhu (digoreng dan dipotong nipis)
RM 2 udang kering
1/2 kilo daging (dikisar halus bersama udang kering)
1/4 botol sos tomato
2 biji tomato
RM1 sayur sawi (dipotong-potong)
1 bekas kecil (bulat) cili giling - yang selalu didapati di pasar malam. Ikut citarasa, jika suka pedas tambah lagi
50 sen daun bawang (dimayang kecil-kecil)
2 camb tepung jagung (untuk melikatkan kuah - dibancuh dengan air dahulu agar tidak berketul-ketul)
2 biji limau kasturi
4 biji telur
200g udang

Tumiskan bawang putih dan merah Apabila bawang kekuningan masuk cili dan kacau hingga cili masak. Masuk daging yang telah dikisar bersama udang kering tadi. Masukkan air secukupnya.
Apabila daging telah empuk, masukkan udang dan tahuu goreng Masukkan tomato dan telur Masukkan air tepung jagung Kacau sekali sekala. Apabila sudah sebati dan masak masukkan sayur sawi Masukkan garam dan gula secukup rasa. Bihun/mee tidak dicampurkan sekali kerana cepat meresap kuah. Oleh itu, bihun/mee direbus seketika/dicelur. Untuk menghidangkan tabur daun kedalam mangkuk berisi kuah bandung. Sebelum memakan perah sedikit air limau kasturi kedalam hidangan ini mengurang atau melambatkan rasa mual. Kalau kuat masam boleh perah banyak

Mee Rebus dr Rosyanti Mahram(Rest PakAmir)

Bahan2 A
Keledek putih 1/2 kilo direbus dan dikisar halus - anggaran utk 1 family
Udang kering 300 grm
Bawang merah 4 ulas
Bawang putih 3 ulas
Serbuk Ketumbar 4 sudu besar
Serbuk Jintan Manis 2 sudu besar
Serbuk Jintan Putih 2 sudu besar
Serbuk kunyit 1 sudu kecil
Cili blender agak2 dlm 2 senduk
Kulit kayu manis/bunga lawang/cengkih
Gula/garam secukup rasa

Bahan2 B
Mee kuning dicelur-jgn sampai lembik
Cili hijau dihiris bulat2
Daun bawang & daun sup dihiris utk ditabur
Taugeh dicelur- jgn sampai layu
Bawang goreng - buat sendiri lagi sodap..
Tauhu digoreng dan dihiris nipis
Telur Rebus

Cara2 membuat kuahnya.
1. Kisar halus keledek + air
2. Kisar halus udang kering + B. Merah + B. putih
3. Tumis kulit kayu manis/cengkih/b.lawang,masukkan udang kering yg dikisar tadi sampai garing
4. Masukkan semua serbuk jintan, kunyit & ketumbar sampai garing & wangi
5. Masukkan cili blender, sampai garing
6. Masukkan keledek tadi, kacau sampai sebati
7. Akhir sekali masukkan gula dan garam secukup rasa

Cara2 nak hidang:
Ambil mee yg dicelur tadi, masukkan kuah, taburkan d. sup,d.bwg,cili hijau,b.goreng,taugeh,tauhu & telur..pastu..apalagi masuk mulut ler...sodap...cuberler...

MEE SIAM dr Deltra(OnTheMenus)

Minyak untuk menumis
600 gm udang, dibuang kulit(kulit udang direbus bersama sedikit air
dan ditapis, ambil air rebusannya)
500 gm. mihun - direndam hingga lembut
300 gm tauge
150 gm daun kucai, dipotong sepanjang 2 cm
garam secukupnya
6 keping tauhu, digoreng dan dipotong dadu
Telur rebus - hiasan
Limau kesturi - hiasan

Bahan-Bahan kisar :
15 biji bawang merah
2 camca besar cili kering, dimesin halus
6 ulas bawang putih

Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bahan-bahan kisar hingga garing dan wangi. Masukkan udang, garam dan serbuk perasa dan kacau rata. Masukkan mihun dan goreng sebentar hingga semua bahan sebati. Masukkan tauge dan daun kucai. Goreng sebentar. Angkat mihun tadi dan taburkan tauhu goreng di atas mihun. Hiaskan dengan telur rebus dan limau kesturi.

Bahan-bahan kuah :
Minyak untuk menumis
8 biji bawang merah, dikisar
2 camca sedang cili kisar
150 gm udang kering, direndam & ditumbuk
1/2 cawan taucu
Sedikit air asam jawa

Untuk membuat kuahnya:
(a)Panaskan minyak. Tumiskan bawang merah kisar, cili kisar, udang kering dan taucu hingga wangi.
(b)Masukkan air rebusan udang dan air asam jawa. Biarkan menidih
seketika. Hidangkan bersama mihun tadi.

Mee Hoon Putih dr Hasniza Yahya(Rest PakAmir)

Mee hoon yang telah lembut (direndam)
Bawang putih
Halia
Lada hitam
Ayam
Sotong
udang
Fish ball & fish cake (goreng dan potong-potong)
Sayur campur - carrot, corn & peas (yang selalu letak dalam tempat beku tu)
Daun sup dan daun bawang
garam secukup rasa
Sedikit minyak untuk menumis

Tumbuk bawang putih, halia dan lada hitam (jangan sampai hancur). Tumis bahan-bahan tersebut. Masukkan ayam, sotong, udang dan biar seketika. Kalau kering, masukkan sedikit air. Masuk garam. Kemudian masukkan sayur campur, mee hoon, fish ball & fish cake, daun sup, daun bawang. Biar seketika. Angkat.
Hidang dengan sambal kicap. uummppppphhhhhh........... sodappp.. insya allah...

1 comment: