Kelas Semi Hands On di Teratak Chetam

Tawaran Istimewa Sempena Teratak Chetam berada di Batu 5, Simpang

Yuran serendah RM100.00 untuk kelas grup dan RM200.00 untuk kelas personal bagi modul berikut:

Aneka Buns
Cream Puff, Enclairs, Fruit Puff
Aneka Tartlets
Takoyaki
Pastri Basket dan Tart Bentuk Buah
Muffins
Sponge Cake utk deko guna whipping cream dan cheese leleh
Cup cakes dan deko

Untuk kelas personal, sila sms atau wassup utk tetapkan tarikh. Anda boleh pilih tarikh anda sendiri dan juga kelas yang anda ingin belajar. Yuran adalah berlainan dari kelas semi hands on.

Lokasi : Batu 5, Simpang, Perak
Landmark : Gerai Lemang dan Gerai Air Jambu Batu di depan rumah
Hubungi : 011-27046007 (sms/wassup)


May 25, 2005

Himpunan 18 resepi-resepi kek lapis dari Diana RPA

Gambar-gambar lampiran akan Chetam masukkan kemudian.
===========================================
"Quote"

Membuat dan membakar Kek Lapis memerlukan ketelitian dan juga kesabaran seseorang individu. Begitu juga dengan daya imaginasi dan creativiti masing-masing. Tidak dinafikan berbagai jenis kek lapis yang cantik-cantik dan juga sedap-sedap ada dipasaran. Tapi, kalau dah ada resipinya dan juga tahu caranya, cubalah membuatnya sendiri. Disini Diana berikan sedikit tips bila membuat Kek Lapis.

1) Jangan terlalu digaul adunan tepung kerana ini akan membuat adunan tepung mendap dan tidak kembang.
2) Pandailah mengawal api kerana kek lapis cepat masak, sekiranya ditinggalkan kesian hangus kek itu tidak cantik jadinya.
3) Perlukan kesabaran bila membuat kek lapis, gagal sekali tidak bererti gagal selamanya. Kalau gagal cuba lagi, kali permulaan Diana cuba membakar Kek Lapis sebanyak 2 kali gagal dan kali ketiga alhamdullilah kek cantik dibakar.
4) Jangan sapu terlalu banyak mentega diantara satu lapis dan lapis yang lain ini membuat kek lembab dan benyek. Cukup hanya sapu sekadar untuk kek tidak terlalu kering.
5) Ikut peraturan di resipi dan timbang bahan-bahan dengan teliti.
6) Pukul adunan telur dan gula sehingga betul-betul kembang. Nak tahu macam mana dia kembang, angkat adunan senduk dan ia tidak mudah jatuh, kalau masih cair dan jatuh pukul lagi sehingga kembang. Ini paling penting, kalau adunan cair kek akan jadi tidak lawa dan juga kurang sedap.
7) Gunakan daya imaginasi dan creativiti bila membuat kek lapis yang banyak bentuk dan warna. Bila kita sabar dan menggunakan daya creativiti insyallah kek akan menjadi lawa dan sedap dimakan.
8) Selesai membakar, biarkan kek betul-betul sejuk dalam loyang sebelum mengeluarkannya untuk dihidang.

Diana minta juga jasa baik ahli-ahli yang "terror" bab membuat kek-kek lapis ini untuk memberi beberapa tips penting untuk dikongsi bersama dan dapat dimanfaatkan oleh semua. Disini Diana himpunkan 18 resipi-resipi berbagai jenis kek lapis dan antaranya adalah:-

* Kek Lapis Lengit
* Kek Lapis Lengit versi 2
* Kek Lapis Lengit Special
* Kek Lapis Sarawak
* Kek Lapis ala Tikar (Sila tengok gambar untuk cara membuatnya)
* Kek Lapis Anyam (Sila tengok gambar untuk cara membuatnya)
* Kek Lapis Bata (Sila tengok gambar untuk cara membuatnya)
* Kek Lapis Bercorak Coklat (Sila lihat lampiran gambar)
* Kek Lapis Kopi Keju (Sila lihat lampiran gambar)
* Kek Lapis Asam Manis ("Haw Flakes")/ Kek Lapis Prune
* Kek Lapis Cempedak/ Kek Lapis Durian/ Kek Lapis Keju
* Kek Lapis Kayu Manis
* Kek Lapis Coffee Princess
* Kek Lapis Strawberi Kopi
* Kek Lapis Prun


KEK LAPIS LENGIT
Bahan-bahannya
30 biji kuning telur
600 gram mentega, dipukul hingga kembang
100 gram tepung gandum
300 gram gula pasir
3 sudu makan susu pekat manis
1 sudu makan rempah kek lapis
1 sudu makan ovalette
½ sudu teh vanilla

Cara-caranya
1. Pukul kuning telur, gula, vanilla dan ovalette sehingga kembang dan naik. Masukkan rempah kek lapis dan tepung, gaul menggunakan spatula dan akhir sekali masukkan mentega yang telah dipukul dan gaul hingga sebati.
2. Panaskan ketuhar pada suhu 160 darjah C atau pun boleh juga menggunakan fungsi grill panaskan sehingga 3.5 untuk kek lapis. Gunakan loyang 20 x 20 x 8 cm. Sapukan mentega pada loyang dan dasarnya dialas dengan kertas kuih.
3. Masukkan 3 - 4 sudu makan adunan dan ratakan, panggang selama 5 minit. Setelah kuning, gunakan spatula atau acuan leper untuk menekan kek dan kemudian sapukan sedikit mentega pada atas kek jangan terlalu banyak (kalau banyak takut kek terlalu basah).
4. Sendukkan lagi adunan tepung dan bakar sehingga habis. Setelah kek habis dibakar, sediakan kertas kuih untuk mengalas kek yang sudah dibakar. Terbalikkan loyang diatas kertas roti dan kek yang telah disejukkan boleh dipotong dan siap untuk dihidang.

KEK LAPIS LENGIT VERSI 2
Bahan-bahannya
30 biji kuning telur
3 putih telur, dipukul hingga kembang, putih dan kaku
300 gram gula halus
110 gram tepung gandum
600 gram mentega, dipukul hingga kembang dan putih
150 gram susu pekat manis
2 sudu makan rempah kek lapis
2 sudu makan ovalette

Cara-caranya
1. Pukul kuning telur, gula halus dan ovalette hingga kembang dan kaku. Masukkan susu pekat manis dan dipukul hingga rata. Masukkan adunan putih telur dan gaul sebati menggunakan spatula. Masukkan tepung gandum yang telah diayak dan rempah kek lapis ke dalam adunan telur dan digaul rata menggunakan spatula.
2. Pukul mentega sehingga lembut dan tuangkan kedalam adunan tepung dan gaul perlahan menggunakan spatula hingga sebati.
3. Tuangkan adunan pada loyang ukuran 20cm yang telah disapukan dengan mentega dan dialas dasarnya dengan kertas kuih. Bakar dalam ketuhar menggunakan api bawah sehingga berwarna coklat.
4. Tekan atas kek dan ulangi process melapis dan gunakan api atas (api bawah dimatikan) hingga habis.

KEK LAPIS LENGIT SPECIAL
Bahan-bahannya
175 gram tepung gandum
625 gram mentega
425 gram gula
25 biji kuning telur
6 biji putih telur
2 sudu makan rempah kek lapis
2 sudu makan ovalette
½ tin kecil susu pekat manis

Cara-caranya
1. Pukul mentega sehingga lembut dan kembang, masukkan susu pekat manis dan rempah kek lapis, pukul rata dan ketepikan.
2. Pukul telur, gula pasir dan ovalette sehingga kembang dan putih. Masukkan tepung gandum yang telah diayak dan gaul menggunakan spatula sehingga rata dan sebati.
3. Masukkan adunan mentega sedikit demi sedikit dan gaul perlahan-lahan sehingga rata dan sebati.
4. Tuang sedikit adunan ke dalam loyang yang telah disapu mentega dan dialas dasarnya dengan kertas kuih. Bakar dengan menggunakan fungsi grill sehingga keemasan.
5. Keluarkan kek dan tekan dengan spatula atau acuan leper untuk kek lapis perlahan-lahan. Sapukan sedikit mentega pada atas kek dan ulangi melapis sehingga habis.
6. Pada lapisan terakhir, gunakan api bawah selama 25 minit pada suhu 160 darjah .
TIPS: Pukul mentega sehingga betul-betul lembut. Cara mencampurkan adunan adalah adunan mentega dimasukkan sedikit demi sedikit kedalam adunan telur dan bukan sebaliknya (telur dimasukkan ke mentega). Untuk hasil yang sedap, kek lapis harus menggunakan mentega dan bukan marjerin. Dasar loyang pembakar kek haruslah ditutup dengan kertas kuih tepat ukurkannya. Jangan ada kertas lebihan ditepi loyang hasil tepi kek akan jadi kurang menarik.

KEK LAPIS SARAWAK
Bahan A (untuk isi didalam kek)
10 biji kuning telur
6 biji putih telur
200 gram gula halus
150 gm tepung Hong Kong
1 sudu makan ovelette
50 ml air sejuk

Bahan B
300 gm mentega
4 sudu makan susu pekat manis
1 paket (200ml) santan krim

Bahan C
pewarna merah, hijau, kuning dan ungu

Bahan untuk Kulit (untuk kita gulung dgn bahan isi)
Bahan A
10 biji kuning telur
4 biji putih telur
150 gm tepung Hong Kong
150 gm gula kastor
1 sudu makan ovellete
50 ml air ais

Bahan B
125 ml mentega, dicair
jem blackcurrent, untuk disapu

Cara-caranya untuk membuat isi
1. Mulakan dengan Bahan A (untuk isi). Pukul telur, gula, air sejuk dan ovalette sehingga kembang. Masukkan tepung dan gaul rata menggunakan spatula.
2. Kemudian pukul Bahan B, mentega, susu pekat manis dan santan krim sehingga kembang. Campurkan Bahan B pada A dan gaul sebati.
3. Bahagikan kepada 4 bahagian, setiap satu warnakan merah, hijau, kuning dan ungu.
4. Sediakan acuan 9 x 9 x 1 inci yang telah disapukan dengan mentega dan dialas dasarnya denga kertas kuih. Tuangkan 5 sudu makan adunan warna hijau kedalam loyang. Bakar dengan api grill 250 darjah dalam ketuhar selama 3 minit. Kalau oven cepat panas turunkan suhu grill.
5. Tekan permukaan kek menggunakan spatula jika ada yang gelembung. Tuangkan 5 sudu makan adunan ungu ke atas lapisan hijau dan ratakan dan bakar sebagaimana langkah 4. Ulangi proses melapis dengan adunan merah dan kuning.
6. Biarkan kek sejuk dalam acuan. Keluarkan dan potong segitiga. (Boleh gunakan besi kekisi untuk tingkap, lebih senang memotong bentuk segitiga).
7. Sesuaikan dengan warna ikut daya imaginasi dan creativiti dan kemudian sapukan jem ditengah-tengah, jangan terlalu banyak sangat hanya cukup untuk melekatkan kek antara satu sama yang lain dan ketepikan

Cara-caranya untuk membuat kulit
1. Pukul telur, gula kaster, air dan ovalette sehingga kembang. Masukkan tepung Hong Kong dan gaul rata menggunakan spatula. Masukkan mentega yang telah dicairkan dan gaul sebati menggunakan spatula.
2. Sediakan acuan 9 x 9 x 1 inci yang telah disapu dengan mentega dan alas dasarnya dengan kertas kuih. Bakar didalam ketuhar selapis demi selapis dengan menggunakan api atas grill untuk 3 minit setiap lapisan sehingga habis.
3. Sedikan kain atau tuala basah untuk melapik. Terbalikkan adunan yang telah masak dan dilapis dengan plastic pembungkus mee. Sapukan jam atas kek, jangan terlalu banyak hanya cukup sekadar untuk melekatkan inti.
4. Letakkan inti yang berbentuk macam kon (tiga segi) atas kek yang disapukan jem dan gulung ketat dan rapi dengan bungkus dengan plastic tadi. Lepas itu ulangi dengan process membuat kulit dan teruslah sampai inti habis digulung. Simpan dalam peti sejuk. Sedap dan senang untuk dibuat.

KEK LAPIS ALA TIKAR
(Sila tengok gambar untuk cara membuatnya)
Bahan-bahannya
500 gram mentega
75 gram susu pekat manis
27 biji kuning telur
2 biji putih telur
275 gram gula kaster
60 gram tepung gandum
15 gram tepung susu
1 sudu makan ovalette
½ sudu teh baking powder

Bahan untuk Lapis Coklat
1 sudu makan pes coklat
10 gram serbuk koko
50 gram mentega, dipukul sehingga lembut

Cara-caranya
1. Pukul mentega sehingga lembut dan kembang, masukkan susu pekat manis dan kacau rata. Ketepikan.
2. Pukul telur, gula kaster dan ovalette sehingga kembang. Masukkan tepung gandum, tepung susu dan baking powder yang telah diayak dan gaul menggunakan spatula.
3. Tuang adunan telur kedalam adunan mentega dan dikacau rata hingga sebati dengan spatula.
4. Bahagikan adunan menjadi 2. Satu bahagian di campurkan dengan pes coklat, serbuk koko dan 50 gram mentega yang telah dipukul dan gaul rata.
5. Siapkan 2 loyang berukuran 12x 22x 4 cm yang telah disapu dengan mentega dan dialas dasarnya dengan kertas kuih. Pada loyang pertama dimulakan dengan adunan kuning, kemudian dilapis adunan coklat, lapis kuning dan seterusnya. Sementara loyang kedua, dimulai dengan adunan coklat, kuning, coklat seterusnya. Setiap lapisa beratnya 100 gram. Buat 7 lapis pada kedua-dua loyang. Bakar tiap lapis dalam ketuhar selama 6 minit pada suhu 150 darjah C dengan api atas. Pada lapisan terakhir selesai dibakar 6 minit, bakar lagi 10 minit menggunakan api bawah.
6. Sejukkan dan keluarkan kek dari kedua-dua loyang. Pada tiap kek potong memanjang ½ cm sebanyak 14 potong. Susun berselang-seli antara kek di loyang pertama (coklat-kuning-coklat) dan kek di loyang kedua (kuning-coklat-kuning). Ketepikan.
7. Ulangi resipi membuat kek lapis tanpa campuran pes coklat, serbuk koko dan 50 gram mentega. Bakar kek menggunakan loyang berukuran 20x 20 x 8 cm yang telah disapu mentega dan dialas dengan kertas kuih.
8. Sendukkan 100 gram pada setiap lapis pada suhu 150 darjah dengan api atas selama 6 minit atau hingga keemasan. Keluarkan dan ratakan dengan spatula atau acuan leper sambil menekan kek dan sapukan dengan sedikit mentega. Ulangi process untuk 7 lapis.
9. Keluarkan kek dari ketuhar pada lapis ke-7 ratakan permukaan kek dan sapukan dengan sedikit susu pekat manis (jangan terlalu banyak) dan kemudian susun kek lapis tikar yang telah disediakan tadi. Susun secantik mungkin dalam loyang dan dipadatkan (jangan terlalu tekan).
10. Kemudian sapukan atas kek lapis tikar dengan sedikit susu manis dan bakar dalam ketuhar untuk 1 minit dan kemudian ulangi lebihan adunan tepung untuk 7 lapis terakhir. Pada lapisan terakhir setelah dibakar 6 minit, bakar lagi 10 minit menggunakan api bawah.
11. Sejukkan kek sebelum dikeluarkan dan dipotong untuk dihidangkan.

KEK LAPIS ANYAM
(Sila tengok gambar untuk cara membuatnya)
Bahan-bahannya
500 gram mentega
75 gram susu pekat manis
27 biji kuning telur
2 biji putih telur
275 gram gula kaster
60 gram tepung gandum
15 gram tepung susu
1 sudu makan ovalette
1 sudu makan serbuk kek lapis
½ sudu teh baking powder
susu pekat manis, untuk sapu

Cara-caranya
1. Pukul mentega sehingga lembut dan kembang, masukkan susu pekat manis dan kacau rata. Ketepikan.
2. Pukul telur, gula kaster dan ovalette sehingga kembang. Masukkan tepung gandum, tepung susu, baking powder dan rempah kek lapis yang telah diayak dan gaul menggunakan spatula.
3. Tuang adunan telur kedalam adunan mentega dan dikacau rata hingga sebati dengan spatula. Bahagikan kepada 2 adunan.
4. Sediakan 2 loyang berukuran 22 x 22 x 4 cm yang telah disapukan dengan mentega dan dialas dasarnya dengan kertas kuih. Bakar kek setiap loyang mempunyai 7 lapisan setiap lapisan beratnya 100 gram pada suhu 150 darjah C dengan api atas selama 6 minit. Setelah sejuk keluarkan kek dari kedua-dua loyang.
5. Ambil kuih dari loyang pertama dan potong memanjang 1cm. Dan potong seterusnya setebal 1 cm dan letakkan dalam susun melintang (Gambar A)
6. Kek pada loyang kedua mulakan sebaliknya iaitu melintang. Potong seterusnya sehingga habis.
7. Letakkan kek yang lebar 1cm, disapu dengan sedikit susu pekat dan tampalkan kek melintang disebelahnya dan disapukan dengan susu pekat manis. Ulang sampai kek dari loyang pertama habis.
8. Susun kek dari loyang kedua atas susunan kek tadi. Mulakan dengan hirisan kuih yang melintang dan kemudian memanjang, buat selang seli sampai kek habis jangan lupa sapukan susu pekat untuk melekatkan kek antara satu sama yang lain. Kemudian padatkan kek dengan cara dimasukkan dalam loyang 20 cm selama 2 jam.
9. Ulangi resipi membuat kek lapis untuk lapisan atas dan bawah. Bakar kek menggunakan loyang berukuran 20x 20 x 8 cm yang telah disapu mentega dan dialas dengan kertas kuih.
10. Sendukkan 100 gram pada setiap lapis pada suhu 150 darjah dengan api atas selama 6 minit atau hingga keemasan. Keluarkan dan ratakan dengan spatula atau acuan leper sambil menekan kek dan sapukan dengan sedikit mentega. Ulangi process untuk 7 lapis.
11. Keluarkan kek dari ketuhar pada lapis ke-7 ratakan permukaan kek dan sapukan dengan sedikit susu pekat manis (jangan terlalu banyak) dan kemudian susun kek anyam yang telah disediakan tadi. Susun secantik mungkin dalam loyang dan dipadatkan (jangan terlalu tekan).
10. Kemudian sapukan atas kek anyam dengan sedikit susu manis dan bakar dalam ketuhar untuk 1 minit dan kemudian ulangi lebihan adunan tepung untuk 7 lapis terakhir. Pada lapisan terakhir setelah dibakar 6 minit, bakar lagi 10 minit menggunakan api bawah.
12. Sejukkan kek dan biarkan 2 jam sebelum dikeluarkan dari loyang dan dipotong untuk dihidangkan.

KEK LAPIS BATA
(Sila tengok gambar untuk cara membuatnya)
Bahan-bahan untuk "Bata"
600 gram mentega
100 gram susu pekat manis
30 biji kuning telur
1 biji putih telur
275 gram gula kaster
75 gram tepung gandum
1 sudu makan ovalette
1 sudu makan rempah kek lapis

Bahan Coklat
1 sudu makan pes coklat
2 sudu makan serbuk koko
50 gram mentega, dipukul
jam strawberry, untuk disapu

Bahan-bahan untuk kek lapis
500 gram mentega
75 gram susu pekat manis
27 biji kuning telur
2 biji putih telur
275 gram gula kaster
60 gram tepung gandum
15 gram tepung susu
1 sudu makan ovalette
½ sudu teh baking powder

Cara untuk membuat Bata
1. Pukul mentega sehingga lembut dan kembang. Masukkan susu pekat manis dan dipukul hingga sebati. Ketepikan.
2. Pukul telur, gula dan ovalette sampai kembang. Masukkan tepung dan rempah kek lapis yang telah diayak dan gaul menggunakan spatula.
3. Tuang campuran telur sedikit demi sedikit kedalam adunan mentega dan dikacau rata menggunakan spatula.
4. Bahagikan adunan kepada 2. Satu bahagian dimasukkan, pes coklat, serbuk koko dan 50 gram mentega yang telah dipukul dan satu adunan lagi dibiarkan warna asal.
5. Tuang selapis adunan (berat 175 gram) ke dalam loyang 22 x 22 x 4 cm yang telah disapukan dengan mentega dan dialas dasarnya dengan kertas. Bakar dalam ketuhar pada suhu 150 darjah C (api atas) selama 6 minit. Tuang pula adunan warna asal (berat 175 gram) ke atas adunan coklat tadi dan bakar lagi selama 6 minit. Buat lapisan seterusnya sehingga adunan habis.
6. Buat kek yang sama pada loyang kedua tapi mulakan dengan adunan kuning dulu, kemudian coklat, seterusnya sehingga habis. Pada lapisan terakhir selepas membakar 6 minit, bakar lagi 10 minit menggunakan api bawah.
7. Kek dipotong miring, kek dari loyang 1 dan 2 potongan miring harus sama tebalnya. (Lihat sample gambar). Tiap loyang potong miring 20 bahagian.
8. Siapkan kek lapis bata dan disapukan dengan jam strawberry dan dilekatkan dengan hirisan kedua dari loyang kedua disebelahnya (lihat sample gambar). Sapukan dengan jam strawberry dan ulangi sehingga kek selesai. Ketepikan.
9. Mulakan untuk membuat kek lapis. Bakar kek menggunakan loyang berukuran 20x 20 x 8 cm yang telah disapu mentega dan dialas dengan kertas kuih.
10. Sendukkan 100 gram pada setiap lapis pada suhu 150 darjah dengan api atas selama 6 minit atau hingga keemasan. Keluarkan dan ratakan dengan spatula atau acuan leper sambil menekan kek dan sapukan dengan sedikit mentega. Ulangi process untuk 7 lapis.
11. Keluarkan kek dari ketuhar pada lapis ke-7 ratakan permukaan kek dan sapukan dengan jam strawberry (jangan terlalu banyak) dan kemudian susun kek bata yang telah disediakan tadi diatasnya. Susun secantik mungkin dalam loyang dan dipadatkan (jangan terlalu tekan).
12. Kemudian sapukan atas kek bata dengan sedikit jam strawberry dan bakar dalam ketuhar untuk 1 minit dan kemudian ulangi lebihan adunan tepung untuk 7 lapis terakhir. Pada lapisan terakhir setelah dibakar 6 minit, bakar lagi 10 minit menggunakan api bawah.
13. Sejukkan kek dan biarkan 2 jam sebelum dikeluarkan dari loyang dan dipotong untuk dihidangkan.

KEK LAPIS BERCORAK COKLAT
(Sila lihat lampiran gambar)
Bahan-bahannya
300 gram mentega
50 gram tepung gandum
25 gram tepung susu
200 gram gula kaster
24 biji kuning telur
1 sudu makan susu pekat manis
½ sudu teh baking powder
1 sudu teh ovalette

Bahan untuk Corak Coklat
Pes coklat
1 sudu makan serbuk koko
25 gram mentega, dipukul

Cara-caranya
1. Pukul mentega sehingga lembut dan kembang dan masukkan susu pekat manis. Pukul lagi hingga sebati dan ketepikan.
2. Pukul kuning telur, gula dan ovalette sehingga kembang. Masukkan tepung gandum dan tepung susu yang telah diayak dan gaul menggunakan spatula sehingga rata.
3. Tuangkan adunan tepung kedalam adunan mentega sedikit demi sedikit dan gaul rata menggunakan spatula.
4. Ambil 100 gram adunan dan campurkan pes coklat, serbuk koko dan mentega 25 gram dan gaul rata. Masukkan kedalam piping baga ataupun plastic segitiga.
5. Sendukkan 75 gram adunan kuning ke dalam loyang berukuran 22 x 10 x 7
cm yang telah disapukan dengan mentega dan dialas dasarnya dengan kertas kuih dan bakar dalam oven paad suhu 150 darjah C (api atas) selama 6 minit. Keluarkan dan tekan dengan acuan leper atau spatula dan sapukan dengan sedikit mentega di atas permukaan kek.
6. Tuang lagi adunan kuning (75 gram) ke atasnya. Picitkan adunan coklat di berbagai tempat (dot dot kecil) dan bakar selama 6 minit. Lapis lagi dengan adunan kuning dan bakar 6 minit. Tiap dua lapisan picitkan adunan coklat.
7. Pada lapisan terakhir selepas bakar menggunakan api atas selama 6 minit, bakar lagi 15 minit menggunakan api bawah.
8. Sejukkan kek sebelum mengeluarkannya dari loyang untuk dhidang.

KEK LAPIS KOPI KEJU
(Sila lihat lampiran gambar)
Bahan-bahannya
10 biji kuning telur
75 gram gula pasir
30 gram tepung terigu
20 gram tepung susu
75 gram mentega, dicairkan
50 gram keju cheddar, diparut

Bahan untuk lapis Kopi
15 biji kuning telur
125 gram gula halus
¼ sudu teh baking powder
25 gram tepung jagung
25 gram tepung susu
250 gram mentega
25 gram susu pekat manis
1 sudu teh ovalette
paste kopi
susu pekat manis/ jam strawberry untuk sapu

Cara untuk membuat lapis keju
1. Pukul telur dan gula sehingga kembang. Masukkan tepung gandum dan tepung susu yang telah diayak dan gaul menggunakan spatula sehingga sebati.
2. Masukkan mentega yang telah dicairkan dan kacau perlahan. Masukkan parutan keju cheddar dan gaul hingga sebati.
3. Tuangkan adunan ke dalam loyang persegi 22 cm x 4 cm yang telah disapukan dengan mentega dan dialaskan dengan kertas roti dan bakar dalam ketuhar pada suhu 180 darjah C sehingga masak.

Cara untuk membuat lapis kopi
1. Pukul mentega sehingga lembut dan masukkan susu pekat manis dan pes kopi dan pukul hingga rata. Ketepikan.
2. Pukul telur, gula halus dan ovalette sehingga kembang. Masukkan tepung jagung, teung susu dan baking powder yang telah diayak dan gaul rata menggunakan spatula. Tuang ke dalam aduanan mentega dan gaul rata.
3. Tuang 125 gram adunan ke dalam loyang 22 x 22 x 4 cm yang telah disapukan denga mentega dan dialas dasarnya dengan kertas kuih. Gunakan api atas dengan suhu 150 darjah C dan bakar untuk 6 minit. Buat selapis demi selapis sehingga adunan habis. Pada lapisan terakhir bakar menggunakan api atas selama 6 minit, kemudian bakar lagi selama 10 minit dengan api bawah.
4. Bila kek sudah sejuk keluarkan kedua-dua kek dan potong mendatan menjadi 2 bahagian. Ambil lapisan kopi dan sapu dengan susu pekat manis atau jam strawberry dan tutup dengan 1 bahagian kek keju. Sapukan lagi dengan susu manis/ jem strawberry dan tutup lagi dengan kek keju dan akhir dengan lapis kopi.
5. Biarkan kek sebati dan melekat selama 2 jam sebelum dipotong untuk dihidang.

KEK LAPIS ASAM MANIS ("HAW FLAKES") / KEK LAPIS PRUNE
Bahan-bahannya
5 putih telur
25 kuning telur
500 gram mentega
180 gram all purpose cake flour
220 gram gula caster
4 sudu makan susu pekat
2 sudu besar ovalette
1 sudu makan pure esen vanilla
haw flakes secukupnya
1 tin kek 9" x 9" x 3" gris sekeliling dengan mentega dan alas dasarnya dengan kertas kek

Cara-caranya
Pukul mentega, susu dan vanilla sehingga kembang. Masukkan 100 gram gula. Pukul lagi sehingga gulanya larut. Ketepikan. Pukul putih terlur sehingga kembang. Masukkan 120 gram gula dan ovalette. Pukul lagi sehingga rata, masukkan kuning telur satu persatu dan pukul sehingga adunannya kembang. Masukkan adunan mentega kedalam adunan telur dan pukul pada kelajuan perlahan sehingga rata. Masukkan tepung dan gaul rata.

Cara membakarnya
Gunakan grill, panaskan sehingga 3.5 untuk kek lapis kemudian panaskan tin kuih sehingga kertasnya bertukar
warna. Keluarkan dan tuangkan 1 senduk adunan kedalam tin dan ratakan. Grill sehingga warnanya coklat. Setelah itu tuang 1 sendung adunan diatasnya dan ratakan. Susun hirisan haw flakes jangan terlalu banyak selang-selikan dan jangan terlalu rapat. Grill lagi sehingga coklat. Ulang lagi dengan satu lapis plain dan satu lapis mengandungi haw flakes, sehingga adunan habis.
Bila sampai ke lapisan terakhir dan bila warna permukaan menjadi coklat, tutup tin kuih dengan aluminium foil atau tutup periuk dan segera buka kepada kepanasan oven biasa pada suhu 120 darjah C, bakar lagi selama 10 minit. Apabila sudah masak, keluarkan dan buka tutupnya, biarkan sejuk, baru boleh dipotong.
Nota: Haw Flakes boleh digantikan dengan buah prune tanpa biji yang dihiris halus, lalu kek dinamakan Kek Lapis Prune.

KEK LAPIS CEMPEDAK/ KEK LAPIS DURIAN/ KEK LAPIS KEJU
Bahan A
500 g mentega lembut
1 sudu makan esen vanilla

Bahan B
14 biji kuning telur
6 biji telur
275 g gula halus
2 sudu makan ovalette

Bahan C
100 g tepung gandum atau tepung Hong Kong, diayak
1/2 sudu teh baking powder
Bahan D (bahan ini dikacau rata)
500 g cempedak
1/4 tin susu pekat

Cara-caranya
Pukul Bahan A selama 3 minit. Pukul Bahan B selama 5 - 7 minit sehingga kembang. Masukkan Bahan A kedalam Bahan B dan kacau rata. Masukkan pula C dan kacau lagi sehingga rata. Bakar dengan menggunakan grill, selapis selapis. Setiap lapis kek sebanyak 2 senduk adunan tepung. Bakar selama 2 - 3 minit. Lapis lagi berselang-seli dengan 2 sudu makan cempedak iaitu bahan D. Jika hendak lebih lazat lebihkan cempedaknya.

Panduan
Kuihnya dilapis, selapis adunan tepung dan selapis adunan cempedak. Apabila dilapis dengan cempedak, hendaklah dibakar sehingga cempedak kering, baru dilapis dengan adunan tepung lagi. Jika tidak kek akan jadi terlalu basah dan jadinya tak lawa dan juga tak sedap. Setelah habis adunannya dilapis, keluarkan keknya dan sejukkan baru diterbalikkan diatas rak kek. Jangan buka oven setelah lapisan terakhir. Ini akan merenggangkan lapisan keknya.
Nota: Untuk mendapatkan KEK LAPIS DURIAN, gantikan isi cempedak kepada isi durian...
Untuk mendapatkan KEK LAPIS KEJU, gantikan cempedak/ durian kepada parutan keju... Cara membakarnya ada lain sedikit... selepas ratakan adunan taburkan keju dan bakar...

KEK LAPIS KAYU MANIS
Sumber: Fiza Nordin
Bahan-Bahan:
Sediakan acuan 10X10". Alaskan dasarnya dgn mentega rata2 dan alas kertas gris. Lumurlagi mentega rata-rata seluruh bhgn dalam acuan.

Bahan A :
500 gm mentega (2 ketul)
4 sd besar susu pekat manis penuh krim
3 sd besar sirap perang
2 ½ sd teh serbuk kulit kayu manis
1 sd teh vanila
Pukul mentega hingga putih dan masukkan bahan2 lain. Pukul hingga kembang. Ketepikan.

Bahan B :
400 gram tepung halus
8 biji kuning telur
10 biji telur
350 gm gula caster
50 gm gula icing - diayak
2 sd besar membumbung ovalette/Quick 75
1 sd teh serbuk penaik

Pukul kedua2 telur dan serbuk penaik hingga berbuih dan kemudian masukkan bahan2 lain. Pukul pada kelajuan tinggi hingga putih. Kemudian masukkan tepung halus - diayak 4 kali dan pukul hingga kembang dan putih. Gunakan kelajuan tinggi. Perlahankan pemukul dan masukkan sedikit2 bahan A sambil dipukul hingga habis. Gaul dengan kelajuan sederhana 10 minit dan gunakan kelajuan tinggi dan pukul lagi 15 minit.

Bahan lain :
½ ketul mentega dibiarkan lembik
(Adunan yang telah siap hendaklah selalu dikacau supaya sebati)

Cara:
Sementara bahan A & B bergaul sebati, panaskan oven suhu 150 deg C (api atas bawah) selama 20 minit. Gunakan senduk besar. Masukkan 1 1/2 senduk adunan dalam tin tersedia. Bakar api atas dan bawah selama 10 minit pada suhu 140 deg C. Keluarkan dari oven dan tukar ke gril (api atas). Sendukkan 1 senduk adunan diatas lapis pertama tadi dan gril 10 minit lagi. Jika menggelembung apabila keluar dari oven, tekan sedikit dgn spatula atau sudip (jgn tekan terlalu kuat). Sapu perlahan-lahan dgn mentega lembik tadi (gunakan belakang sudu atau pastry brush yang besar).
Ulangi melapis dan menggril dan pada setiap lapisan KEDUA sapu mentega lembik. Buatlah sehingga habis. Elakkan lapisan kek yang masak dari terkoyak semasa menyapu mentega. Pastikan 1/2 ketul mentega mencukupi. Jika sukar untuk mengagak kegunaannya, cairkan mentega lembik atas api kecil dan apabila mula cair, angkat.
Untuk lapisan terakhir gunakan api atas dan bawah suhu 150 deg C.
Keluarkan dari oven dan tutup acuan segera menggunakan 11 X 11" kertas foil dengan cermat. Biarkan semalaman baru dikeluarkan dari acuan dan dipotong untuk mengekalkan keharuman, kelembapan dan mensebatikan rasanya.
Tambahan:
Jika suka rempah kek lapis rempah atau kopi, boleh pakai dalam resipi ini menggantikan serbuk kulit kayu manis dengan serbuk rempah kek/ kopi.
Sentiasa kacau sebelum menyendukkan adunan dalam tin pembakar supaya ramuan kek sebati dan tidak mendak.
Elakkan dari menggunakan api yang terlalu kuat, gril 140 deg C adalah memadai. Kek ini mempunyai kandungan gula yang pelbagai dari susu pekat, gula2 halus dan sirap, jadi ia mudah hangus. Menyediakannya juga memerlukan kesabaran.
Sirap perang memberkan warna belang-perang yang cantik diantara setiap lapisan.
Bahan2 kek ini menggunakan mentega asli, susu pekat manis penuh krim dan telur yang segar (telur besar-gred A).
Majerin boleh digunakan tetapi kerana kandungan airnya yang tinggi, ia mudah tengik dan berkulat. Begitu juga Krimer manis dan susu isian pekat manis tidak setahan lama SUSU PEKAT MANIS PENUH KRIM.
`Contoh : Milkmaid, Dutch Lady Sweetened Full Cream Condensed Milk'
Lebih elok menggunakan mentega dalam tin, tetapi mentega ketul sudah memadai asalkan PURE CREAMY BUTTER. Ianya juga memberikan rasa kek yang halus, wangi dan gebu.
'Contoh : SCS, Fern, Five Star, Uncle Jack, Danish Lurpak, Golden Churn, Bonlac dll'
Jangan sapu setiap lapisan dgn mentega cair, ini akan membuatkan lapisan kek mudah `bercerai'.
Penggunaan kuning telur dan ovalette/Quick 75 dalam adunan kek adalah untuk melekat dan memantapkan lapisan kek. Juga elakkan dari menekan lapisan yang baru masak dengan kuat.

KEK LAPIS COFFEE PRINCESS
Bahan A
20 biji kuning telur (disejukkan)
4 biji putih telur (disejukkan)
50 gram air sejuk
150 gram tepung gandum
250 gm gula castor
1 sudu makan ovallete
1 sudu teh baking powder

Bahan B
250 gm mentega (cair) - masukkan didalam plastic dan dicelupkan dalam air panas.
1 sudu makan susu pekat
1 sudu makan coffee oil
1 sudu teh garam
pewarna merah

Cara-caranya
1. Pukul telur, air sejuk, gula dan ovalette sehingga kembang. Masukkan tepung
gandum dan baking powder yang telah diayak dan gaul rata menggunakan spatula.
2. Dalam bekas yang berasingan, pukul kesemua bahan B sehingga sebati.
3. Masukkan adunan B kedalam adunan A dan kacau sehingga sebati. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian. Satu diwarnakan merah dan satu dibiarkan warna asal.
4. Lapis 2 warna asal diikuti dengan 1 lapis warna merah. Melapis jangan terlalu tipis agak-agak 2 senduk nasi untuk 1 lapis. Bakar menggunakan grill (api atas) dan pada lapisan terakhir gunakan api atas dan bawah.

KEK LAPIS STRAWBERI KOPI
Bahan-bahannya
250 gm mentega
80 ml susu pekat
15 biji kuning telur
4 biji putih telur
120 gm gula kastor
1 sudu besar Quick 75/ ovalette
90 gm tepung gandum
1 sudu teh strawberi emulco
sedikit pewarna merah
1 sudu besar serbuk koko
½ sudu teh kopi emulco

Cara-caranya
1. Alas tin empatsegi 20 cm dengan kertas kek dan sapukan dengan sedikit mentega.
2. Pukul mentega dan susu hingga pucat. Ketepikan.
3. Putar kuning telur, putih telur, gula dan Quick 75 hingga kembang dan pekat.
4. Bubuh tepung berselangseli dengan adunan mentega. Kacau sebati kemudian asingkan bahagikan kepada dua, bubuh strawberi emulco dan warnakan merah pada satu adunan.
5. Baki adunan yang lagi satu dibahagikan 2, campurkan serbuk koko dan kopi emulco ke dalam satu bahagian. Isikan ke dalam beg aising.
6. Ratakan satu lapisan adunan biasa ke dalam tin. Bakar menggunakan api atas dan bawah. Keluarkan dari ketuhar dan tekan sedikit supaya mampat.
7. Lapisan kedua adalah adunan merah. Picit garisan memanjang adunan kopi. Gril hingga keperangan. Ulangi proses melapis dengan adunan biasa diikuti strawberi berkopi. Ulangi hingga habis adunan.
8. Akhir sekali, bakar pada 170 C selama 10-15 min supaya ia tahan lama.

KEK LAPIS PRUN
Bahan-bahannya
250 g mentega
80 ml susu pekat
15 biji kuning telur
4 biji putih telur
120 g gula kastor
1 camb Quick 75/ ovalette
90 g tepung gandum
150 g prun tanpa biji, dihiris nipis
sedikit pewarna hijau

Cara-caranya
1. Pukul mentega dan susu hingga putih, ketepikan.
2. Putar kuning dan putih telur selama 3 min, masukkan gula dan Quick 75/ ovalette, putar hingga kembang dan pekat.
3. Bubuh tepung berselangseli dengan campuran mentega. Kacau sebati. Asingkan 1/3 adunan, campurkan dengan pewarna hijau.
4. Alas loyang persegi 20 cm dengan kertas kuih dan sapukan sedikit mentega. Ratakan adunan biasa, biar nipis. Bakar dengan api atas dan bawah pada suhu 180 C, selama 4-5 min.
5. Cucuk permukaan kek dan tekan dengan sesuatu yg leper. Ratakan adunan biasa lagi dan susun prun memanjang. Gril keperangan.
6. Ikuti dengan adunan hijau, biasa, kemudian biasa dan prun. Ulangi proses melapis hingga habis. Supaya kek lapis tahan lama, bakar seperti membakar kek biasa, pada suhu 190 C selama 15 min agar ia benar-benar masak.


"UnQuote"

1 comment:

  1. sis thanks for all the recipe .. insyaAllah I try ..

    ReplyDelete