TAU FU FAH
Bahan
300 gm kacang soya(direndam)
3 liter air
3 camb tepung jagung
3/4 camt serbuk gypsum
125 ml air mendidih
Bahan sirap gula putih
350gm gula pasir
250ml air
2 helai daun pandan - disimpulkan
Bahan sirap gula merah
150gm gula merah
50gm gula pasir
250ml air
2 helai daun pandan - disimpulkan
Cara Membuat
Buangkan air rendaman kacang soya dan ramas untuk menanggalkan kulitnya
Kisar dengan separuh bahagian air kemudian tapis menggunakan kain jarang(maslin/kain kasa)
Perah untuk mengambil patinya. Selepas itu kisar semula hampas tersebut dengan baki air dan perah sekali lagi.
Campur air mendidih dengan serbuk gypsum. Biar sejuk kemudian campurkan dengan tepung jagung dan kacau supaya larut dan sebati. Kemudian tapiskan ke dalam periuk besar.
Jerang air soya sehingga mendidih. Tuangkan cepat-cepat ke dalam bekas berisi campuran gypsum tadi.
Buangkan buih yang timbul di permukaannya. Bungkus penutup bekas dengan kain tebal kemudian tutup bekas kemas-kemas.
Biar selama sejam sehingga menjadi keras. Hidangkan dengan sirap gula putih atau gula merah.
====================================================
KACANG soya mempunyai kandungan protein yang tinggi. Air soya dan tau fu fah adalah antara produk kacang soya yang menyihatkan. Ia sangat popular dan digemari sama ada kanak-kanak atau orang dewasa. Ia boleh dimakan panas atau sejuk.
Anda boleh memilih air gula atau sirap gula putih. Sirap gula merah boleh dimasak dengan gula merah atau gula Melaka (gula kabung). Setiap kali menggunakan gula merah, anda hendaklah menapisnya supaya dapat mengasingkan kekotoran yang ada. Kadangkala ada juga bahagian gula merah yang tidak hancur walau dibiar mendidih lama.
Perkara paling penting bila hendak membuat tau fu fah adalah memilih kacang soya. Pastikan ia dibeli di kedai yang kerap dikunjungi orang ramai kerana stoknya tentu baru. Jika kulit soya nampak kecut, jangan beli. Kulit soya yang baik mestilah berkilat dan tidak berdebu. Lebih besar kacangnya, lebih banyak isi yang ada.
Sebelum membuat tau fu fah, anda mesti membuat air soya terlebih dulu. Ramai orang mengenali air soya dengan air tauhu. Jika tidak mahu membuat tau fu fah, bolehlah diminum sahaja air itu. Anda juga boleh membuat puding dengan air tauhu dan dimakan bersama buah-buahan dalam tin.
Kacang soya hendaklah direndam selama lima jam. Airnya mestilah digantikan sekerap yang mungkin iaitu setiap satu hingga satu jam setengah. Ini untuk mengelakkan ia menjadi masam. Air tauhu yang masam memang tidak enak diminum. Ia juga tidak tahan lama dan cepat basi.
Kacang soya yang sudah direndam perlu diramas untuk menanggalkan kulitnya. Proses ini memakan masa yang lama dan agak rumit. Setelah mengisar kacang soya, anda perlu menapisnya dengan kain jarang atau kain kasa. Kemudian kisar semula hampasnya dengan air supaya semua patinya terbit. Perah kain itu untuk mengeluarkan semua airnya. Hampas soya boleh dijadikan makanan ayam atau itik.
Salah satu bahan terpenting dalam pembuatan tau fu fah ialah serbuk gypsum atau kalsium sulfat. Ia boleh dibeli di kedai barangan bakeri. Jika membeli di kedai perubatan Cina, anda hanya perlu meminta sek ko fun.
Sewaktu memasak air soya, pastikan apinya sederhana. Hendaklah dikacau selalu kerana bahagian dasarnya mudah hangus. Ia juga mudah meruap atau mendidih sehingga boleh tumpah. Ini akan merosakkan tekstur tau fu fah. Ia juga mungkin berbau hangit dan anda langsung tiada selera untuk memakannya.
Untuk lebih wangi, masak air soya dengan beberapa helai daun pandan yang disiat dan diikat.
Fahami peraturan dengan betul supaya anda tidak membuat kesilapan. Suhu sangat penting apabila membuat tau fu fah. Jika anda biarkan air soya sejuk sebelum menuangkan ke dalam larutan gypsum, tau fu fah tidak akan menjadi. Mutu kacang soya juga menjamin keenakan tau fu fah tersebut. Setelah membuatnya beberapa kali, melalui pengalaman, anda akan tahu jenis soya yang terbaik.
Bila menuangkan air soya ke dalam campuran serbuk gypsum, lakukan dari tempat yang tinggi. Sebagai panduan, letak bekas berisi campuran tersebut di atas lantai. Tuang air soya dari tahap permukaan meja. Jadi, pastikan campuran itu diletak di dalam bekas atau periuk besar supaya tidak tumpah.
Buangkan buih di permukaan air soya tadi sebelum menutupnya kemas-kemas. Penutup mesti dibalut dengan kain atau tuala tebal supaya campuran tau fu fah kekal panas di dalamnya. Dengan cara ini saja ia akan keras.
Gunakan penyenduk khas untuk memotong tau fu fah dan letakkan dalam mangkuk. Kemudian barulah dituangkan sirapnya. Tau fu fah sebaik-baiknya dimakan segera dalam keadaan hangat. Namun begitu ia juga sedap dimakan setelah disimpan seketika di dalam peti sejuk.
Untuk membuat sirap air gula, jerang semua bahan atas api sederhana hingga mendidih. Perlahankan api dan biar merenih. Bila agak pekat, barulah diangkat. Buangkan daun pandan. Manakala untuk sirap gula merah, setelah sirap direnihkan sebentar, tapiskan ke dalam jag. Sirap gula merah akan memekat dengan sendirinya bila ia sejuk.
Nota Kaki Chetam: Chetam pernah postkan resepi menbuat tau fu fah ini. Tapi kali ini, kita kongsi pula resepi dari Puan Norzailina Nordin dari akhbar Kosmo hari ini.
Kelas Semi Hands On di Teratak Chetam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment