Ketam bertaucu
|
|
JIKA sudah jemu dengan ketam masak lemak cili padi, cubalah resipi ini kerana rasanya memang berbeza. Ia hampir serupa dengan Singapore East Coast Chilli Crabs tetapi tidak menggunakan telur dan bahan pemekat (tepung kanji). Anda mesti ingat bahawa sebarang masakan yang menggunakan taucu tidak perlukan garam langsung.
Jika ingin membuat ikan atau daging masak taucu misalnya, letak taucu di dalam penapis kecil dan kocakkan di bawah air paip. Dengan cara ini, anda boleh membuang kemasinannya. Taucu diperbuat daripada kacang soya yang banyak mengandungi protein. Namun penghidap penyakit darah tinggi harus mengelak daripada selalu memakannya.
Ada pendapat mengatakan, isi ketam cuma penuh pada waktu bulan mengambang. Apa kaitannya? Cara lain yang paling mudah adalah melihat saiz ketam itu sendiri. Kemudian mengangkatnya. Jika saiznya besar bermakna isinya banyak, ia mesti berat. Jika saiznya besar tetapi ringan, isinya kurang atau tidak penuh.
|
|
Untuk memaniskan ketam, boleh juga diperapkan dengan sedikit gula, garam dan serbuk kunyit. Goreng di dalam minyak yang panas sehingga separuh masak. Dengan cara ini, isi ketam tidak terkeluar semasa memasaknya dengan kuah. Selain itu, ia juga boleh dikukus. Jika mengukus, anda tidak perlu memerap ketam dengan serbuk kunyit.
Untuk mendapatkan warna kuah yang lebih gelap, campurkan beberapa titik kicap pekat atau kicap hitam. Tahukah anda, ada kicap khas untuk menggoreng mi? Mi menjadi lebih sedap sekiranya menggunakan kicap istimewa ini kerana ia memberikan mi tersebut warna yang lebih gelap, di samping rasanya yang amat menyelerakan.
Selain ketam, anda boleh menggunakan udang atau lala. Sekiranya udang jenis besar, eloklah digoreng separuh masak terlebih dulu. Pastikan anda buang bahagian berurat di belakang udang. Untuk warna udang yang lebih menarik, pilihlah udang harimau.
Jika menggunakan lala, kurangkan sedikit airnya kerana lala akan mengeluarkan air bila ia dimasak (proses mengecut). Sebarang jenis ikan juga sesuai. Semuanya hendaklah digoreng terlebih dulu. Sekiranya anda menggoreng hingga masak, memadai menuangkan kuah ke atas ikan yang diletak di dalam pinggan. Tidak perlu menggaulnya di dalam kuali.
Masakan ini berkuah pekat dan amat sesuai sebagai lauk nasi tomato atau nasi minyak. Rasanya juga pedas, manis dan masam. Jika sukar mendapatkan sos cili Thai, boleh digantikan dengan sos cili biasa atau berperisa bawang putih. Anda juga boleh menggunakan telur. Caranya ialah dengan menggoreng telur yang direbus itu terlebih dulu. Dengan teknik ini, kuah akan melekat dengan lebih mudah pada telur itu.
Kalau anda suka pedas, tambahkan cili merah atau pes cili (cili boh). Boleh juga masukkan beberapa biji cili padi supaya lebih pedas. Gula mesti ditambah supaya rasa masam tomato dan sos cili dapat diseimbangkan. Jika menggunakan serbuk perasa, masukkan pada saat akhir sebelum mengangkat masakan.
Anda digalakkan mencampurkan gula atau garam semasa menumis rencah. Ini akan membuat rencah lebih berperisa dan mudah garing serta terbit minyak. Petua-petua beginilah yang membezakan masakan sama ada ia sedap atau sebaliknya.
Masakan ini sangat mudah kerana ia tidak melibatkan langkah yang rumit. Malah anda boleh menyediakan bahan kisar terlebih dulu. Simpan di dalam peti sejuk. Ambil sebahagian sahaja bila hendak memasak. Dengan cara ini, anda mampu menjimatkan masa di dapur!
No comments:
Post a Comment