Kelas Semi Hands On di Teratak Chetam
November 09, 2006
AL-FATIHAH BUAT AYAHANDA TERSAYANG, HAJI SHAHAROM
Hari Selasa(31 Oktober 2006), Chetam dapat panggilan talipon dari Kak Ti di Bangi. Ayahanda Chetam terbabit dalam satu kemalangan dan Kak Ti tengah bersiap nak balik ke Taiping. Masa tu Chetam masih lagi berada di Kota Medan. Dengan air mata bercucuran, Buya bawa Chetam ke Wartel terdekat untuk menalipon Kak Tih untuk mendapat berita yang sahih.
Menurut Kak Tih, Ayahanda keluar awal pagi untuk periksa darah di Hospital Taiping dan dalam perjalanan balik, Ayahanda singgah beli ikan di Market Kota. Kemalangan berlaku di persimpangan Traffic Light berdekatan Market Kota. Ayahanda yang naik skuter telah berlanggar dengan sebuah lori kecil. Menurut abang ipar yang baru balik dari hospital, tulang rusuk sebelah kanan telah patah dari pada tulang ketiga hingga ke bawah. Tiada luka di badan melainkan sedikit lebam-lebam.
Chetam cuma dapat berangkat pulang ke LCCT pada hari Rabu(1 November 2006) dan cadangan asal, kalau sampai awal, nak cari bas untuk pulang ke Taiping. Nasib tak menyebelahi Chetam sebab kapalterbang AirAsia lambat sampai ke Medan. Pukul 8.40malam waktu Indonesia, baru kapalterbang berlepas ke LCCT. Mendarat dalam pukul 10.40 malam waktu Malaysia tapi urusan Imigresen melambatkan lagi keadaan. Buya pemegang paspot Indonesia dan malam tu memang ramai yang beratur di kaunter Orang Asing. Chetam, Buya dan Chenul naik teksi yang memang ditempah awal-awal dan sampai ke rumah pukul 12.33 pagi.
Terpaksalah minta teksi tersebut datang kembali sebelah pagi untuk menghantar kami ke Hentian Kajang. Bas bertolak pukul 10.30 pagi tetapi singgah depan Maybank Jalan Tun Perak untuk mengisi penumpang. Pukul 12 lebih baru bas penuh dan mula bergerak meninggalkan Kuala Lumpur. Sampai di Stesyen Kemunting dalam pukul 5 lebih. Kak Jang dan Kak Ti datang jemput dan terus bawa Chetam ke Hospital Taiping.
Ayahanda dah dimasukkan ke dalam Wad ICU dan bergantung sepenuhnya bantuan alat pernafasan. Sedih dan pilu tengok Ayahanda yang dipenuhi wayar. Bersih muka Ayahanda. Chetam pegang tangan dan bagitahu yang Chetam dah sampai. Buya pun cakap dengan Ayahanda. Terasa yang Ayahanda membalas genggaman tangan Chetam dan mata yang tertutup rapat nampak bergerak-gerak. Ayahanda telah diberikan ubat tidur oleh doktor tapi Ayahanda tahu yang Chetam dan Buya ada di sisi.
Doktor berjumpa dengan Abang Lang untuk meminta kebenaran bagi menebuk lubang kecil di leher Ayahanda bagi memasukkan tiub pendek. Abang Lang terpaksa merujuk kepada Abang Chak dan Abang Chik. Kebenaran telah diperolehi. Chetam balik ke rumah dan Buya di bawa ke rumah Abang Chak kerana ada majlis Bacaan Yassin.
Malam tu, tiba-tiba anak sulung Kak Tih mengamuk nak air coke sedangkan beliau ada penyakit penat. Nak air coke yang bapak dia beli sendiri. Bila diberitahu yang bapaknya berada di hospital jaga Tok Wan, dia mengamuk nak Tok Wan balik ke rumah. Tak berapa lama kemudian Suami Kak Tih talipon dan bagi tahu yang Doktor nak melakukannya pembedahan bagi menyedut paru-paru Ayahanda yang dimasuki air. Peluang hanyalah 50 - 50 dan doktor minta semua anak-anak Ayahanda berkumpul. Masa ini lah anak Abang Lang yang darjah 1 mengamuk dan ikut tengok Tok Wan. Chenul pun mengamuk nak ikut. Terpaksala Chetam masuk rumah semula untuk tidurkan Chenul dulu. Biasanya Chenul akan tidur lena. Chetam ikut kereta Abang Chik yang baru sampai dari Kuala Lumpur. Dua kakak ipar tinggal di rumah untuk jaga cucu-cucu Ayahanda.
Bila sampai di Hospital, kami semua menunggu diluar kecuali Buya yang dibenarkan masuk untuk membaca Surah Yassin. Dekat pukul 1 pagi baru kami dibenarkan naik ke atas untuk bertemu Ayahanda secara bergilir-gilir. Masa Chetam masuk ke Wad ICU, Buya tengah mengajar Ayahanda MENGUCAP. Bercucuran air mata Buya masa tu. Chetam tengok kat skrin ada 3 garisan. 2 garisan di bawah sudah menunjukkan angka kosong iaitu garisan lurus. Garisan yang teratas masih ada bacaan tetapi ianya semakin menurun. Kaki Ayahanda dah dingin. Bila bacaan garisan teratas sudah kosong, Nurse suruh kami keluar kecuali Buya yang masih bersama Ayahanda. Doktor datang dan kemudian Buya keluar sambil menangis, terus bersalam dengan Abang Cik dan memeluknya. Tahulah kami yang Ayahanda telah pergi buat selama-lamanya.
Menurut Buya, Ayahanda sempat mengucap dan pergi dengan tenang sekali. Sepatutnya Jenazah Ayahanda dibedah siasat tapi abang-abang Chetam tak benarkan. Biarlah Ayahanda pergi dengan aman.
Ayahanda Chetam meninggal dunia pada pukul 1.25 pagi Jumaat yang mulia. Jenazah tak sempat dikebumikan selepas solat Jumaat sebab lambat keluar dari Hospital disebabkan ketiadaan doktor untuk mengesahkan. Jenazah Ayahanda dikebumikan selepas Solat Asar di Masjid Simpang berdekatan dengan kubur Allahyarhamah Bonda Chetam.
Chetam redha dengan pemergian Ayahanda kerana Chetam tahu Ayahanda amat merindui Bonda Chetam. Setiap hari Ayahanda tak lupa melawat kubur bonda dan menyedekahkan bacaan Al Quran. Kak Tih bagi tau yang Ayahanda pernah jatuh di tanah perkuburan semasa melawat Bonda tapi Ayahanda diamkan saja. Kak Ti bagi tahu yang dia terjumpa gambar Bonda di dalam laci almari di dalam bilik Ayahanda. Gambar itulah yang dibelek setiap hari.
Ayahanda bagitahu Kak Tih yang Ayahanda nak pakai baju Melayu warna putih di pagi Raya dan Kak Tih dah siapkan. Ayahanda bangun awal, siap berpakaian dan menangis sorang-sorang di dalam bilik. Bila dah reda, Ayahanda duduk di sofa seperti menantikan kehadiran anak-anak untuk memohon ampun maaf. Masa tu, abang-abang Chetam belum balik dari Solat Raya. Selepas abang sulung Chetam datang beraya ke rumah baru Ayahanda mula ceria. Sedihnya sebab inilah pertama kali Chetam tidak beraya dengan Ayahanda sebab beraya di Medan.
Ayahanda tidak pernah menyusahkan anak-anak. Wang untuk majlis Tahlil dan sedekah telah Ayahanda siapkan terlebih dahulu. Wang sedekah telah dimasukkan dalam sampul surat berwarna coklat. Selepas ketiadaan Ayahanda baru kami tahu tentang wang tersebut.
Chetam minta maaf kerana posting kali ini sedikit panjang. Chetam baru mula kerja hari ini. Chetam ingin beri sedikit nasihat pada anda yang sudi menerimanya.
Jika anda seorang anak lelaki, janganlah terlalu mengikut telunjuk isteri sehingga mengabaikan kedua ibubapa. Ibubapa kita tidak ingin menyusahkan kita tapi apalah salahnya jika kita luangkan sedikit masa untuk melawat mereka. Bagaimana perasaan ibubapa anda apabila nampak kereta anda meluncur terus melepasi rumah ibubapa anda menuju ke rumah mertua sedangkan kedua-dua mertua anda sudah tiada lagi di dunia ini? Anda lebih selesa berada di samping ipar duai berbanding ibubapa sendiri. Jangan selepas ketiadaan mereka, baru anda rasa terkilan dan menyesal.
Jika anda seorang menantu perempuan, janganlah anda terlalu mengongkong suami anda sehingga singgah sekejap pun tidak boleh. Bila di rumah mertua, anda macam cacing kepanasan. Tak mahu duduk sekejap. Asyik ajak balik. Perbuatan anda sedikit sebanyak telah meremukkan hati mertua anda.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment