Kelas Semi Hands On di Teratak Chetam

Tawaran Istimewa Sempena Teratak Chetam berada di Batu 5, Simpang

Yuran serendah RM100.00 untuk kelas grup dan RM200.00 untuk kelas personal bagi modul berikut:

Aneka Buns
Cream Puff, Enclairs, Fruit Puff
Aneka Tartlets
Takoyaki
Pastri Basket dan Tart Bentuk Buah
Muffins
Sponge Cake utk deko guna whipping cream dan cheese leleh
Cup cakes dan deko

Untuk kelas personal, sila sms atau wassup utk tetapkan tarikh. Anda boleh pilih tarikh anda sendiri dan juga kelas yang anda ingin belajar. Yuran adalah berlainan dari kelas semi hands on.

Lokasi : Batu 5, Simpang, Perak
Landmark : Gerai Lemang dan Gerai Air Jambu Batu di depan rumah
Hubungi : 011-27046007 (sms/wassup)


July 29, 2008

Feedback dari Nelawati - Pengunjung Teratak Chetam

Ini ada email yang Chetam terima dari Nelawati.

Seronok dapat feedback yang macam ini. Kalau anda dah mencuba, Chetam alu-alukan feedback dari anda. Kalau ada gambar lagi meriah.

Thanks Nelawati.
Chetam

Sila klik untuk imej lebih besar

Metro Online - Nasi Beriani Sotong

Nasi beriani sotong

Bahan-bahan:
1/2 cawan minyak masak Daisy Blend
1 sudu besar rempah beriani
1 kilogram sotong basah (dicuci bersih)
1 helai daun pandan
4 cawan beras basmati (rendam 1/2 jam)
4 cawan air
1 cawan susu cair
Garam secukup rasa
50 gram kismis kuning
2 labu bawang besar (hiris dan goreng)
2 tangkai daun ketumbar
1 sudu besar pewarna kuning

Bahan Dikisar Halus:
4 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
4 sentimeter halia

Cara menyediakan masakan:
1. Panaskan minyak masak di dalam kuali dan tumis bahan kisar bersama rempah beriani sehingga garing.
2. Kemudian, masukkan sotong dan biarkan ia masak. Keluarkan sotong dan ketepikan. Biarkan baki rempah di dalam kuali.
3. Masukkan daun pandan dan beras basmati ke dalam kuali tadi. Gaul hingga sebati.
4. Masukkan air dan susu cair. Masak sehingga mendidih. Masukkan garam secukup rasa dan sebatikan.
5. Masukkan kismis kuning, bawang besar yang sudah digoreng, daun ketumbar dan pewarna kuning. Biar kering dan boleh diangkat apabila bahan kelihatan layu.
6. Siap untuk dihidang. (Hidangan untuk enam orang)

Petua: Gunakan periuk kukus untuk mengukus nasi beriani selepas dimasak kering di dalam kuali untuk mendapatkan nasi yang lebih lembut dan tidak berkerak.

Metro Online - Kurma Kambing Yang Menyelerakan

Kurma kambing

Bahan-bahan (Hidangan untuk enam orang)

Bahan A:
1 sudu besar minyak masak Daisy Blend
1 kilogram daging kambing (potong kecil)
1/2 cawan tairu (susu pekat dan masam)
2 cawan air

Bahan B:
1/2 cawan minyak masak Daisy Blend
1 helai daun pandan
1 batang serai
4 sudu besar rempah kurma + 1 1/2 cawan air
2 cawan susu segar
4 biji ubi kentang (potong empat)
2 sudu besar perahan limau nipis
Garam secukup rasa

Bahan kisar:
3 sentimeter halia
4 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
4 biji buah keras
1 sudu besar serbuk kas-kas

Cara memasak:
1. Rebus bahan A dan ketepikan. Pastikan daging kambing direbus lembut.
2. Panaskan minyak masak di dalam kuali, tumis bahan kisar bersama daun pandan dan serai sehingga kekuningan.
3. Masukkan rempah kurma yang sudah dicampur dengan air. Masak selama kira-kira lima minit sehingga kering.
4. Masukkan bahan yang direbus tadi (daging kambing) dan masak selama lima minit.
5. Masukkan susu segar dan ubi kentang. Kacau hingga sebati.
6. Kemudian masukkan perahan limau nipis dan garam.
7. Siap untuk dihidang.

Petua:

Untuk menghilangkan bau daging kambing, cuci daging dengan hirisan serai dan tepung gandum selama setengah jam.

Chenul Pakai Legging/Stokin


Chenul tengah bergaya dengan stokin/legging baru yang merupakan salah satu produk di Toko Chetam. Serba pink anak dara Chetam ni.

Kalau berminat nak dapatkan stokin/legging ni, jangan lupa kunjungi Toko Chetam.

July 25, 2008

Kosmo Online: Kuali bersama Norzailina Nordin - Kek Keju Dingin

KEK Keju menjadi kegemaran di mana saja tetapi tidak ramai yang tahu bagaimana menyediakannya. Ia sejenis kek yang mudah untuk dipelbagaikan dengan variasi perisa.

Misalnya, kek keju coklat atau kek keju buah-buahan seperti oren, pic, pisang dan seumpamanya. Jadi, bila anda tahu membuat satu jenis kek keju, anda akan dengan sendirinya pandai membuat pelbagai kek keju yang lain.

Ada dua jenis kek keju iaitu jenis bakar dan tidak bakar. Jenis tidak bakar diperbuat dengan campuran serbuk gelatin atau agar-agar. Jika orang Islam menggunakan gelatin, pastikan ia halal. Jenis bakar pula menggunakan suhu yang agak rendah dan selalunya kek keju tersebut dibiarkan sejuk di dalam ketuhar supaya ia tidak merekah kerana perubahan suhu bilik.

Kaedah memasak dengan pengukus bertingkat juga menjadi ciri utama di mana loyang berisi adunan kek tersebut diletakkan di dalam sebuah bekas atau tin yang lebih besar. Ini adalah untuk memastikan udara di dalam ketuhar stabil dan wujud wap air yang dapat menjamin kek keju masak dengan lebih sempurna.

Membuat kek keju dingin tidak memerlukan banyak kemahiran, sebenarnya. Anda hanya perlu menggunakan pemutar elektrik untuk memukul krim keju. Ingatlah bahawa krim keju mesti dibiar pada suhu bilik supaya ia lembut sebelum dipukul. Dengan ini saja ia akan mudah gebu bila dipukul pula dengan gula kaster.

Krim putar mudah didapati di mana-mana pasar raya besar. Pastikan ia sentiasa dingin dan keluarkan dari peti sejuk sejurus sebelum anda memasukkan ke dalam adunan. Krim putar tenusu adalah berbeza daripada krim putar bukan tenusu yang banyak digunakan di dalam membuat krim bagi menghias kek.

Selain ceri hitam, anda boleh gantikan dengan nenas, pic atau sebarang buah-buahan di dalam tin. Anda juga boleh menggunakan pisang dan boleh disusun terus di atas lapisan biskut tersebut. Pastikan buah-buahan di dalam tin disejat terlebih dulu sirapnya. Kemudian susun supaya setiap potongan kek mendapat bahagian buahnya.

Perkara paling utama yang mesti diketahui tentang kek keju dingin adalah gelatin. Cara melarutkan gelatin adalah dengan cara merendamkan terlebih dulu di dalam air yang diletakkan di dalam mangkuk kecil. Pastikan mangkuk tersebut tahan panas.

Setelah gelatin kembang, letak mangkuk di dalam periuk berisi air mendidih. Kacau hingga larut. Kemudian biarkan seketika sebelum dimasukkan ke dalam adunan krim keju. Elakkan daripada mencampurkan ketika ia masih panas. Sentiasa pukul adunan semasa memasukkan larutan gelatin supaya ia bercampur dengan sempurna. Tutup atasnya dengan plastik kemudian bungkus dengan foil sebelum diletak di dalam peti sejuk selama semalaman atau sehingga keras sebelum dihiris.

Untuk mendapatkan hirisan yang kemas dan tidak comot, bilas pisau pemotong dengan air panas. Lap kering kemudian barulah memotong kek tersebut. Kek ini memang tidak menggunakan tepung atau telur. Ia juga tahan lama jikalau disimpan di dalam bekas bertutup yang diletakkan di dalam peti sejuk.

Namun begitu, kek keju yang mempunyai gelatin tidak tahan jikalau diletakkan di tempat yang panas. Ia mudah cair. Jika anda ingin membawanya berkelah atau sebagainya, pastikan kek tersebut dibekukan terlebih dulu di dalam tempat pendingin beku. Kemudian bungkus dengan plastik nipis clingfilm. Setelah itu, barulah dibungkus pula dengan kertas aluminium. Dengan cara ini, kek tidak mudah cair.

Gunakan biskut Digestive kerana ia tinggi serat. Namun begitu, anda juga boleh gunakan biskut marie dengan campuran badam atau gajus panggang. Ini akan membuat lapisan bawah kek keju lebih rangup dan menyelerakan. Jadi, tiada alasan lagi untuk tidak membuatnya di rumah kerana ia memang mudah dan cepat!

July 23, 2008

Kompilasi Resepi Dari Laman Web Nestle - Apple Cinnamon Bread Pudding

Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera

Chetam dapat resepi di bawah ni melalui email dari Nestle. Minta maaf, resepi di dalam bahasa yang susah....hehehehe. Gambar puding tu dilinkkan ke laman web Nestle. Bila dah menjengah, nampak pulak ada beberapa resepi yang menggunakan produk keluaran Nestle. Since terajin hari ni, Chetam compilekan semua resepi tersebut dalam format pdf. Bahasa masih lagi bahasa yang susah.......tak der masa la nak translate resepi-resepi tu. Bukan dapat upah pun....hehehe

Kepada semua pengunjung Teratak Chetam yang telah berdaftar, jangan khuatir kerana kompilasi resepi-resepi ini akan singgah ke email anda sebentar lagi.

Kepada pengunjung yang tidak berdaftar tetapi ingin mendapatkan kompilasi ini, sila email chetam1@gmail.com.

Apple Cinnamon Bread Pudding




Ingredients


8 slices raisin bread
A
8 egg
1/2 cup sugar
1 tbsp vanilla essence
2 cups NESTLÉ® Low Fat Milk

4 Granny Smith apples, peeled and thinly sliced
1 cup golden raisins
1/4 cup caster sugar
1 tbsp ground cinnamon
1 tbsp ground nutmeg
3 tbsp unsalted butter, cut into small pieces

Cooking Steps
  1. Lightly grease a 1-litre pie dish. Trim crusts of bread and arrange half of the bread in the pie dish.
  2. Whisk ingredients A until well mixed, and spoon half the mixture over the bread.
  3. Top with sliced apples and raisins, then cover the apples with the remaining bread slices. Pour the remaining milk mixture on top.
  4. In small bowl, stir together the sugar, cinnamon and nutmeg, then sprinkle this sugar mixture over the bread.
  5. Dot the bread pudding with butter and let stand for 30 mins.
  6. Place the pie dish in a large deep baking dish. Carefully pour boiling water down the side of the dish until it comes halfway up the sides of the tin.
  7. Bake in a preheated oven at 180°C for 50-60 mins or until a knife comes out clean.
  8. Cut warm bread pudding and serve.

July 21, 2008

Aksi Chenul!




Ada yang rindu ngan aksi-aksi Chenul. Ni ada beberapa gambar.

Pulut dengan Kuah Durian

Chetam masak pulut ngan kuah durian ni nak jamu Abang Lang dan Abang Shamsul yang datang dari Tepen. Mereka bermalam di rumah baru Abang Chik. Nak tidur rumah Chetam memang tak boleh sebab setiap inci lantai penuh ngan barang. Buya kosongkan bilik sebab nak mengecat so ruang tamu macam kapal pecah.

Masak pun dalam keadaan tak cukup bahan. Daun pandan tak ada, santan pun guna santan segera. So kureng kow!!!! Walaupun kureng kow.....Buya makan sampai bertambah beberapa kali.............hehehehe

Pulut dan Kuah Durian

Pulut
Santan
Gula
Garam
Daun pandan
Durian

Cara
Pulut di rendam selama beberapa jam. Kemudian dikukus atas api selama lebih kurang sejam atau sehingga masak. Jangan lupa letak daun pandan sebelum kukus.

Santan dimasukkan dalam periuk. Masukkan beberapa ulas durian. Ramas buah durian sehingga isinya tanggal. Tinggalkan beberapa ulas durian yang idak diramas di dalam periuk. Letakkan periuk atas api sederhana. Masukkan daun pandan dan kacau rata hingga mendidih. Masukkan gula dan sedikit garam. Jangan lupa untuk mengacau kuah durian ni. Dah mengelegak, boleh tutup api. Hidangkan bersama pulut yang telah di kukus.

Trifle

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Petang semalam Chetam buat trifle. Kali ni guna susu kotak dan kek jenama London Roll, kalau tak silap. Sebenarnya kek ni budak2 yang makan tapi bila Chetam rasa, boleh tahan juga yang perasa strawberry.

Trifle

Bahan A.
2 kotak London Roll perasa strawberry.

Bahan B
3 cawan susu kotak
3 camca besar tepung kastad
Beberapa titik esen vanila
3 camca besar gula

Bahan C
1 bungkus jelly perisa strawberry - jenama Nona
2 cawan air mendidih

Bahan D
1 tin buah koktel

Cara
Potong bahan A dan susun dalam bekas plastik.
Campurkan kesemua bahan B ke dalam periuk kecil. Masak atas api perlahan. Kacau supaya tidak bergentel. Apabila pekat, tutup api.
Bancuh bahan C sehingga gula larut.
Tuang air sirap dari bahan D ke atas kek yang telah disusun. Taburkan sebahagian buah koktel di atas kek. Tuangkan pula bahan B dan ratakan. Tabur sebahagian lagi buah koktel. Biar seketika.
Akhir sekali tuang bahan C dan masukkan dalam peti sejuk.

July 11, 2008

Kosmo Online: Kuali bersama Norzailina Nordin - Biskut Badam Berhias

Biskut badam berhias

KIRA-KIRA dua bulan lagi, umat Islam akan menyambut kedatangan Ramadan. Aidilfitri menyusul sepurnama kemudian. Jadi, mungkin ada di antara kita sudah berfikir apakah biskut untuk lebaran ini. Apa kata, kita sediakan sesuatu yang berbeza daripada biasa?
Biskut badam ini istimewa kerana hiasan di atasnya. Ia nampak saja rumit tetapi sebenarnya agak mudah jika anda tahu caranya. Dengan pengetahuan tentang penggunaan coklat cair dan aising royal, anda juga boleh membuat ratusan jenis biskut atau kek topping pada masa akan datang.

Supaya biskut ini rangup, perkara paling penting ialah memastikan badam di dalamnya betul-betul masak. Cara memanggang badam di dalam ketuhar adalah dengan meratakan ia di dalam tin pembakar. Pastikan tiada badam yang bertindih.

Gunakan api atas dan bawah pada suhu 200 selsius. Panaskan ketuhar terlebih dulu lebih kurang 10 minit.

Setelah lima minit memasukkan badam, kacau dengan senduk kayu. Ini untuk memastikan seluruh bahagian badam mendapat kepanasan yang sekata. Bakar atau panggang lagi sehingga kulit nipis di luar badam nampak sedikit merekah. Anda juga akan dapat menghidu bau badam yang sungguh wangi ini.

Untuk memudahkan, anda perlu membuang kulit badam terlebih dulu. Caranya ialah dengan mencelurnya di dalam air mendidih selama dua hingga tiga minit. Kemudian, letak badam di dalam air biasa (paip). Anda boleh mengupas kulitnya dengan mudah.

Dengan badam tanpa kulit, anda juga akan mendapati sangat mudah bila membakarnya. Anda boleh lihat sendiri, ia akan menjadi keperangan. Jika memanggang kacang hazel, ia akan nampak berminyak dan keperangan bila telah cukup masak. Anda juga boleh gunakan kacang jenis lain bagi menggantikan badam dalam resipi ini.



Kaedah membuat biskut ini tidak memerlukan kaedah creaming. Anda hanya perlu menggaul semua bahan hingga sebati dan menjadi doh. Sekiranya doh agak keras, ini bermakna tidak cukup mentega. Jika suka, anda boleh gunakan separuh mentega dan separuh lagi marjerin. Jika marjerin digantikan dengan lemak sayuran, biskut akan menjadi lebih rangup.

Bakar biskut hingga benar-benar masak dan keperangan dasarnya. Jika ia kurang garing, ia akan mudah lemau dan tidak rangup lagi. Biar biskut sejuk di atas redai. Alaskan bawah redai dengan kertas kalis minyak atau foil. Kemudian curahkan perlahan-lahan dengan coklat merah. Baki coklat akan menitis ke atas kertas dan anda boleh gunakan semula. Adalah lebih mudah jika anda gunakan kertas silikon sebagai penggalas.

Sesetengah ketuhar memerlukan suhu 180 darjah selsius untuk membakar biskut. Manakala kek pula pada suhu 195 hingga 200 darjah selsius. Jadi, ia bergantung pada jenis ketuhar dan berapa lama anda sudah menggunakannya. Bagi ketuhar berkipas dengan api atas dan bawah, anda perlu turunkan sebanyak 20 darjah selsius. Jika suhu dalam resipi adalah 180 selsius, ini bermakna anda perlu gunakan suhu 160 darjah selsius.

Untuk mencairkan sebarang jenis coklat, hiriskan kecil terlebih dulu. Letak di dalam mangkuk keluli atau tahan panas. Campurkan lemak sayuran. Kemudian letak mangkuk di dalam periuk berisi air mendidih perlahan. Kacau sebati. Teknik ini dinamakan double-boiler. Pastikan tiada air atau wap yang jatuh ke dalam coklat tadi kerana ia akan mengeras.

Bila salutan coklat sudah keras, bolehlah picitkan corak di atasnya dengan menggunakan aising royal. Jika anda membuatnya dengan sebiji putih telur, memadai dipukul dengan garpu sambil memasukkan gula tadi. Jika membuat banyak, gunakan pemutar elektrik pada tahap minimum. Tambah gula sehingga anda mendapat aising yang pekat dan mudah dipicitkan ke atas biskut.

Setelah aising hiasan keras, anda boleh letak di dalam mangkuk kertas dan simpan di dalam bekas kedap udara. Pastikan anda melapik dengan kertas kalis minyak supaya corak kekal cantik dan tidak patah atau rosak. Cuba gunakan coklat warna hijau dengan aising kuning, contohnya, untuk mendapatkan kelainan. Semua terpulang pada kreativiti masing-masing.
Nota Kaki Chetam: Sila klik imej resepi untuk melihat versi yang lebih besar.

Kosmo Online: Kuali bersama Norzailina Nordin - Mufin


MUFIN menjadi kesukaan ramai kerana ia boleh dipelbagaikan mengikut cita rasa masing-masing. Ia juga mudah dihidangkan, tidak seperti kek biasa yang perlu dipotong terlebih dahulu. Jadi, mufin sangat popular sebagai sajian di meja bufet atau ketika berkelah.

Ada dua cara menyediakan mufin. Ini akan menentukan sama ada ia gebu dan lembut seperti kek atau keras dan sedikit berderai. Boleh dikatakan mufin yang bertekstur agak keras adalah kombinasi kek dan roti. Membuatnya juga adalah lebih mudah daripada mufin yang rasanya seperti kek.

Bila tekstur mufin lebih menyerupai kek, langkah pertama adalah memutar telur dengan mentega atau marjerin hingga gebu. Kemudian baru masukkan sebiji demi sebiji telur diikuti bahan kering yang lain. Cecair yang selalu digunakan ialah susu, jus buah-buahan atau dadih. Kaedah membuatnya tidak jauh beza dengan pembuatan kek.

Sementara mufin bertekstur agak keras pula hanya perlu dikacau dengan senduk kayu. Tidak perlu sehingga terlalu halus atau kembang. Langkah yang pertama adalah ayak bahan-bahan kering seperti tepung, serbuk penaik dan soda penaik. Dalam mangkuk kecil, satukan pula bahan-bahan seperti telur, cecair dan mentega (cair) atau minyak.

Kemudian anda hanya perlu campurkan kedua-dua bahagian. Masukkan juga hirisan epal atau buah-buahan lain dan coklat cip atau kekacang seperti gajus, badam, walnut dan lain-lain. Jadi, semuanya terpulang pada kreativiti masing-masing.

Sebaik-baiknya, gunakan mangkuk kertas khas untuk mufin. Atau gunakan mangkuk yang khusus untuk kek cawan. Mangkuk yang sudah dikeraskan tidak perlu dimasukkan ke dalam tin patty. Tin seperti ini mempunyai beberapa buah 'lubang' dan sesuai untuk saiz tertentu mangkuk kertas kek tersebut.

Bila membakar mufin di dalamnya, bentuknya akan kekal. Jika anda tidak mempunyai tin patty, boleh gunakan 2 atau 3 lapisan mangkuk kertas kek kerana ia lebih kuat dan tidak akan berubah bentuk bila adunan dibakar di dalamnya. Saranan saya ialah, jika anda kerap membuat mufin, ada baiknya anda membeli tin patty kerana ia memang mudah digunakan.

Setiap kali memasukkan adunan ke dalam mangkuk, pastikan ia ¾ penuh. Jika terlalu sedikit, mufin tidak akan mengembang dengan cantik dan sempurna. Inilah identiti mufin yang berbeza dengan kek biasa. Ada juga jenis mufin yang merekah dan bahagian atasnya berbentuk seperti cendawan.

Anda boleh mempelbagaikan mufin mengikut selera. Daripada resipi asas, anda boleh campurkan pisang yang dilecek halus. Anda juga boleh menambah oat atau wheatgerm supaya kandungan serat di dalam mufin meningkat. Serat penting untuk memudahkan penghadaman kita. Aprikot kering juga adalah sajian yang mengandungi paling banyak vitamin dan garam galian.

Kebelakangan ini, ramai orang keliru dengan soda penaik dan serbuk penaik. Untuk makluman anda, soda penaik juga dikenali dengan soda bikarbonat. Manakala serbuk penaik adalah baking powder. Serbuk penaik sangat penting untuk memastikan kek kembang dan gebu. Ia telah ditambah dalam tepung naik sendiri.

Soda penaik pula dicampurkan sekali terutama di dalam adunan kek yang mempunyai kandungan cecair yang tinggi, seperti mufin dan sesetengah kek lembap yang juga dikenali sebagai gateau. Untuk mendapatkan mufin yang harum baunya, masukkan vanila sejurus sebelum meletakkan adunan ke dalam acuan mufin.

Anda juga boleh tambah serbuk kayu manis atau serbuk buah pala. Bagi yang tidak suka manis, kurang gula sehingga 1 atau 2 camca besar. Tambahkan sukatan tepung gandum. Campurkan parutan keju Cheddar dan herba kering Itali seperti oregano, rosemary dan lain-lain.

Anda pasti menyukai mufin yang saya kongsi di sini kerana ia bukan saja mudah dibuat tetapi juga rendah lemak kerana tidak menggunakan mentega dan hanya sebiji telur.

Nota Kaki Chetam: Sila klik imej resepi untuk melihat versi yang lebih besar.

July 04, 2008

Atas Permintaan: Kuih Bakar Pandan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Atas permintaan LeenJB, ini ada 2 resepi Kuih Bakar Pandan tapi Chetam tak pernah cuba lagi. Penyumbangnya pun Chetam tak tahu sebab resepi ni dikumpul dari tahun 2003.

KUIH BAKAR PANDAN (versi 1)
Bahan-Bahan:
10 biji telur ayam
1 mangkuk gula pasir
1 mangkuk tepung gandum
air pandan /perwarna hijau
3 sudu bijan
garam secukup rasa

Cara membuatnya :
1. Campurkan telur ,santan ,gula,tepung gandum ,air pandan ,air .
2. Kacau hingga sebati.
3. Sediakan acuan yang telah disapu mentega dan tuangkan adunan ke dalamnya
4. Tabur bijan,kemudian bakar sehingga masak dengan suhu sedarhana.

Kuih Bakar Pandan (versi 2)

Bahan-bahan:
10 biji telur ayam(mengunakan sukatan mangkuk)
1 mangkuk santan pekat dari 1 biji kelapa
1 mangkuk gula pasir
1 mangkuk tepong gandum
5 helai daun pandan di perah ambil airnya 1/2 cawan
3 sudu bijan
1 sudu teh perwarna hijau
garam cecukup rasa.
(sukatan mangkuk tepong,gula dan santan ikut sukatan mangkuk telur)

CARANYA :
1. Campurkan telur,santan,gula,tepong gandum,air pandan dan perwarna hijau.
2. Kacau hingga sebati.
3. Sediakan acuan yang telah disapu mentega dan tuangkan adunan kedalamnya.
4. Tabur bijan kemudian bakar sehingga masak dengan suhu sedarhana.

Kosmo Online: Kuali bersama Norzailina Nordin - Barbeku


Barbeku

BILA mengadakan majlis di halaman, tiada yang lebih sesuai dan menyeronokkan daripada barbeku. Ia adalah kaedah memasak makanan dengan cara memanggang. Tidak sukar jika anda atau rakan-rakan pernah membuatnya. Memang sesuatu yang menggembirakan bila dapat berbual sambil menikmati bau makanan yang dipanggang.

Jika anda tiada tempat memanggang khas, anda boleh nyalakan api di atas tanah. Kemudian gunakan dua tungku atau batu-bata supaya kedudukan bahan yang anda ingin bakar lebih tinggi. Jika bara api terlalu dekat, makanan mudah hangus. Jangan nyalakan api tersebut di atas lantai simen. Alas terlebih dahulu dengan zink atau sebarang kepingan besi atau keluli.

Memanggang juga boleh dilakukan di bawah gril. Hanya sesetengah ketuhar yang mempunyai elemen gril. Pastikan bahan diletakkan agak jauh dari atas (bahagian gril). Letak bahan di atas redai yang telah disapu dengan minyak supaya ia tidak melekat. Redai pula hendaklah diletakkan di atas tin pembakar yang dilapik dengan foil.

Tujuan menggunakan redai adalah supaya cecair yang terbit daripada makanan akan terkumpul di dalam tin pembakar. Ini akan memastikan makanan masak dengan sempurna. Anda juga perlu merenjiskan makanan itu dengan sedikit bahan perap atau minyak. Dengan cara ini, makanan tidak akan menjadi kering. Ia juga akan mengempukkan daging dengan sempurna.

Bila memanggang, jangan suka menterbalikkan sesuka hati. Ini akan melambatkan daging masak. Biar ia keperangan terlebih dulu baru diterbalikkan. Sekiranya api menyala, alihkan daging atau ayam tersebut dengan segera. Kadangkala lemak daripada makanan ini dapat memarakkan api. Pastikan anda memanggang dengan bara sahaja. Jadi, pilihlah arang yang terbaik kerana ia mudah menjadi bara.

Jika hendak memerap lebih daripada empat jam, letakkan di dalam peti sejuk. Keluarkan kira-kira sejam sebelum mula memanggang. Jika daging atau ayam dibiarkan pada suhu bilik dalam jangkamasa yang lama, bakteria akan membiak dengan cepat. Bakteria inilah yang boleh membuat anda berasa sakit perut.

Bila memilih stik untuk memanggang, carilah jenis striploin, rib-eye atau T-bone. Bahagian ini lebih lembut. Jika membeli daging di pasar raya, memang ada potongan khas untuk membuat stik. Selalunya ia adalah yang paling mahal kerana mudah empuk. Jika keliru, anda boleh tanyakan pada penjual.

Manakala daging kambing seharusnya yang mempunyai lapisan lemak. Lemak inilah dapat mengekalkan kelembutan kambing bila dipanggang. Jika di bahagian rusuk yang ada sedikit tulang, adalah lebih baik kerana ia lebih mudah untuk diterbalikkan. Untuk mendapatkan kambing barbeku yang lebih sedap, taburkan daun rosemary kering atau segar di atas kambing semasa memanggangnya.

Semasa membuat kuah atau sos, pastikan ia mendidih betul. Ini untuk memastikan semua bakteria yang mungkin ada di dalam bahan perap itu dihapuskan. Anda juga boleh menyediakan bahan sos berpandukan resipi. Jadi, tidak perlu menggunakan baki bahan perap. Ini adalah kerana kadangkala baki bahan perap tidak mencukupi untuk tetamu yang ramai.

Makanan barbeku yang biasa adalah udang, sotong dan ikan. Untuk memudahkan anda memanggang sotong, susun dalam bekas memanggang keluli yang berkepit. Anda juga boleh menggunakan skewer atau besi pemanggang khas. Ini dapat menjimatkan masa dibandingkan jika anda perlu menterbalikkan bahan tersebut satu persatu.

Hidangan sampingan untuk barbeku lazimnya adalah campuran ubi kentang rebus, hirisan seleri, telur rebus bersama mayonis, sos Thousand Island, garam dan serbuk lada hitam. Untuk lebih enak, sajikan juga jagung yang sudah direbus, disapu dengan mentega dan serbuk perisa makanan sebelum dipanggang.

Selain itu, sediakan daun-daun salad, tomato, timun dan lain-lain yang digaul dengan jus limau serta minyak zaitun. Sayuran segar seperti timun dapat mengurangkan efek karsinogen bahagian garing (atau hangus sedikit) pada makanan yang dipanggang.
Nota Kaki Chetam: Sila klik imej resepi untuk melihat versi yang lebih besar.