Kelas Semi Hands On di Teratak Chetam

Tawaran Istimewa Sempena Teratak Chetam berada di Batu 5, Simpang

Yuran serendah RM100.00 untuk kelas grup dan RM200.00 untuk kelas personal bagi modul berikut:

Aneka Buns
Cream Puff, Enclairs, Fruit Puff
Aneka Tartlets
Takoyaki
Pastri Basket dan Tart Bentuk Buah
Muffins
Sponge Cake utk deko guna whipping cream dan cheese leleh
Cup cakes dan deko

Untuk kelas personal, sila sms atau wassup utk tetapkan tarikh. Anda boleh pilih tarikh anda sendiri dan juga kelas yang anda ingin belajar. Yuran adalah berlainan dari kelas semi hands on.

Lokasi : Batu 5, Simpang, Perak
Landmark : Gerai Lemang dan Gerai Air Jambu Batu di depan rumah
Hubungi : 011-27046007 (sms/wassup)


November 29, 2006

Bali - Part 3 (18 November 2006)

Lepas tu Chetam n Gang dibawa ke kilang ukiran kayu. Banyak patung Barung, Rama dan Sita, ayam, katak, set catur dan macam-macam lagi. Lemas rasa bila lama duduk kat bilik pameran. Batuk tak henti-henti sampai rasa penat. Chetam terus keluar menuju ke bas. Baru rasa lega. Ada juga Gang yang beli cenderahati. Kena pandai menawar di sini. Kita kena letak harga mulai dari 1/4 dari nilai yang ditawarkan. Lepas tu menaik sampai tawaran kita dipersetujui penjual. Kawan Chetam beli patung kecil jer dan tawar harga RP80,000. Penjual tu terus setuju. Maknanya harga yang kawan Chetam tawarkan masih lagi tinggi.


Macam kat tempat proses batik jugak, bila nampak jer kami turun dari bas, depa pun mula buat keje. Staff yang kasi briefing bagi tahu yang ukiran dibuat dari seketul kayu tanpa menggunakan gam atau paku.


Bos No 2 tanya budak yang tengah tidur tu pun tak pakai gam ker. Lantas staff tu cakap, "This is not for sale"......hehehehe

Agenda seterusnya ialah makan tengahari di Gunung Batur. Di sini terdapat Gunung Berapi Kintamani. Ada gunung berapi yang semi aktif dan juga yang tidak aktif. Pemandangan memang cantik. Menurut John, makan tengahari yang disediakan adalah HALAL. Masa beratur untuk ambl makanan, Chetam terdengar orang di depan Chetam memberitahu kawan2 beliau supaya jangan ambil Sate sebab daging nya tak halal. Fahamkan daging apa......hehehehe.....mak ai.....macam mana ni......Restoren ni penuh sesak dengan pelanggan yang rata-ratanya merupakan pelancung dalam dan luar negara. Terdapat ramai pelancung Muslim dari Jakarta. Chetam dah rasa cuak, langsung tak makan lauk ayam yang telah diambil terlebih dahulu. Chetam cuma makan cucur sayur.


Pemandangan indah Gunung Berapi Kintamani. Kalau tak silap, gunung yang ini dah tak aktif.


Yang ini pulak semi aktif. Menurut John, gunung berapi ni akan meletus setiap 100 tahun. Kali terakhir ialah pada tahun 1960an.

Selepas makan, sempat bergambar beramai-ramai. Di luar restoren terdapat ramai peniaga cenderahati. Kena hati-hati dan rajin menawar. Chetam beli pensel berukir dengan harga RP5,000 untuk 10 batang. Chetam ambil 20 batang untuk dijadikan ole-ole kepada anak-anak sedara. Hajat di hati nak beli T-shirt. Chetam minta 6 helai untuk RP40,000 tapi tak dapat. Penjual tu cuma sanggup kasi 5 helai untuk RP40,000. Chetam tak nak beli tapi penjual tu ikut Chetam sampai Chetam naik bas.


Pensel berukir yang Chetam beli. Menarik kan warna-warnanya. Penjual yang lain dok jual RP10000 untuk 10 batang tapi Chetam dapat 20 batang.

Dalam perjalanan turun, bas singgah di satu Supermarket. Bukan supermarket macam di Malaysia, lebih merupakan tempat menjual cenderahati. Berkenan dengan set tudung saji tapi diskaun diberi cuma sekitar 25%. Harga asal pun dah mencekik darah. Chetam tak beli apa-apapun. Bas meneruskan perjalanan ke satu Temple di Tampak Siring. Ada air sungai yang jernih. Chetam malas nak masuk ke temple so dengan 2 kawan, kami terus ke gerai-gerai yang berderet-deret. Kawan Chetam beli kain batik dengan harga RP50,000. Di gerai yang lain Chetam jumpa set tudung saji. Chetam beli dengan harga RP55,000, jauh lebih murah dari Supermarket sebelumnya. Chetam juga beli 5 helai kain batik dengan harga RP25,000. Kain batik ni sama dengan yang kawan Chetam beli. Chetam juga beli baju maxi batik dengan harga RP25,000. Bila ke gerai yang lain pula, Chetam dapati harga yang ditawarkan semakin murah untuk barang yang Chetam sudah beli. Misalnya set tudung saji di gerai lain ditawarkan RP30,000 sahaja.......aduh rugi. Rupa-rupanya.....semakin jauh kita berjalan, semakin murah harga yang ditawarkan.


Inilah set tudung saji yang Chetam beli dengan harga RP55000. Ada 3 bakul dengan saiz berbeza. Memang berbaloi. Ada juga yang sudah diwarnakan dengan warna terang siap ngan lukisan ala batik. Memang cantik untuk dijadikan hiasan rumah. Tapi Chetam pilih yang biasa sebab nak letak makanan.


Kapalterbang kayu berharga RP20000 untuk Chenul. At the moment, tayar pun dah tercabut dikerjakan Chenul.


Baju maxi batik berharga RP25000. Hem.....blum tahu nak kasi siapa.....Anda berminat nak beli????...hehehehe


Kain batik warna merah untuk Kak Tih. Harganya RP25000. Kain yang sama inilah yang kawan Chetam beli di gerai mula-mula dengan harga RP50000.


Kain batik untuk Chetam untuk dibuat seluar.....hehehehe....warna pink lagi....


Kain batik warna biru untuk Kak Nah


Kain batik untuk Kak Ti. Kakak yang dulu tinggal di Bandar Baru Bangi. Baru jer pindah ke rumah sendiri di Taman dekat juga ngan rumah Arwah Bapak.


Kain batik warna biru tua untuk Kak Jang. Kakak yang keje cikgu, baru je pindah dari Padang Rengas ke Balik Pulau, Penang.


3 anting-anting tu beli di Tampak Siring dengan harga RP5000. Manakala Sepit Rambut (RP1600) dan Gelang Manik (RP1800) dibeli di sebelah malam di sebuah kedai aksesori di Kuta. Menyesal betul sebab beli 4 gelang manik tu. Bayangkan harga satu gelang hanya RM0.73 sahaja. Nak pegi kedai ni dah tak larat nak jalan kaki sebab jauh dari hotel. Itupun kebetulan nampak semasa Chetam dok cari Restoren Ayam Bakar Wong Solo.

Di Tampak Siring ni penjualnya lebih agresif. Mereka sanggup menarik tangan pelancung untuk membeli barangan mereka. Chetam lihat ada 2 pelancung dari Jepun kalau tak silap, dikejar oleh seorang penjual wanita sehingga ke bas pelancung tersebut. Tips penting yang Chetam perolehi dari internet:

1) Kalau tak ada niat beli barang, jangan mula menawar.
2) Jangan buat eye contact kalau tak berminat dengan barang yang dipamerkan. Tips ini khusus untuk penjual jalanan. Mereka akan mengejar kita.
3) Kalau dah berkenan dengan barang yang ditunjukkan, ambil terus barang yang ada ditangan penjual. Penjual jalanan akan selalu menukarkan barang yang ditangan dengan barangan yang di simpan di tempat lain. Barang yang ditukarkan ini selalunya rendah kualitinya. Boss nombor 2 Chetam dah terkena di Kintamani. Selepas makan tengahari, beliau didatangi penjual set catur. Set yang ditunjukkan memang cantik dan ukirannya bermutu tinggi. Harga pun mahal iaitu RP250,000. Bila bos Chetam berkenan dengan set catur tu, terus penjual tu tukarkan set catur yang lain. Warna pun kuning semacam dan ukiran tidak sehalus set yang mula-mula. Nasib baik, bos Chetam perasan set tu dah ditukar, terus dia membebel dan tak jadi beli.

Dah shopping di Tampak Siring, Chetam n Gang singgah di Temple Goa Gajah. Malas la nak masuk so Chetam tunggu di tangga. Kebetulan pulak kepala tengah sakit sesangat. Cuaca di Bali panas terik. Chetam tersilap pakai tudung hitam. Lagila terasa bahang cahaya matahari. Di Goa Gajah pun ada gerai tapi tak ada pelanggan. Chetam pun tak berminat nak shopping di sini.


Gambar Goa Gajah yang Chetam songlap dari kamera kawan. Tuan punya kamera tu lah AMOI yang sedang bergaya dalam gambar.


Lagi satu gambar yang Chetam songlap. Chetam tak ambik gambar sebab tak masuk ke kawasan kuil. Kepala dah sakit.


Ini pula gambar pasar di luar Goa Gajah yang Chetam ambil semasa duduk di tangga. Dah tak larat wei......

Selesai lawatan di Goa Gajah, Chetam n Gang di bawa ke Galeri Lukisan di Ubud. Memang cantik lukisan yang dipamerkan. Malangnya, Chetam n Gang tak dibenarkan mengambil gambar. Bos-bos Chetam beli satu lukisan untuk Ofis dengar harga RP2.5 juta.


Lagi sekali, perkara yang sama.......pekerja rajin membuat kerja masing-masing sebaik sahaja bas memasuki area galeri. Sebelum tu depa dok hisap rokok di tangga.


Hiasan atas pintu menuju ke galeri. Masuk jer dalam galeri, tak dibenarkan ambil gambar.


Depa ni rajin bergambar. Siap ada sorang pekerja yang mengaku pernah tinggal di Penang. Cara cakap pun ikut loghat orang Malaysia. Bila Chetam tanya berapa lama di Penang. Jawapannya 3 bulan, itupun semasa masih kecil......hehehehe


Lukisan besar yang bos-bos beli untuk ofis. Harganya RP2.5 juta. Tapi sampai sekarang masih tak nampak pun kelibat lukisan ni di ofis....hehehehe.....jangan-jangan tergantung kat tempat lain.

Stop lagi........hehehehe

Bali - Part 2 (18 November 2006

Chetam tersedar dah pukul 6 pagi. Tengok luar dah terang benderang. Alamak!!! Dah pukul berapa sebenarnya ni.....kalau di Malaysia, mesti masih gelap. Rupernya matahari di Bali keluar awal.





Kat atas adalah gambar yang Chetam ambil dari balkoni bilik hotel pada pukul 6 pagi. Cerah kan? Masa ni boss nombor 2 Chetam tengah berenang kat swimming pool.

Pegi breakfast kat bawah, lepas tu pukul 8.30pagi terus berkumpul di lobi. Tourist guide, John dah setia menanti Chetam n Gang. Oh Ya....terlupa pulak...nama Hotel ialah The Oasis Hotel Bali(3 Star), terletak di daerah Kuta. Kuta memang sibuk dengan pelancung-pelancung.


Ni gambar Lobi.....memang semulajadi gelap...hehehe...

Kena jalan sedikit sebab bas parking kat tepi jalan. Chetam minta kebenaran dari John nak duduk di seat depan sekali sebab nak ambil gambar.


Ini pulak Madhi, driver bas kami. Orang Bali. Mula-mula nampak macam tak mesra alam jer. Tapi sebenarnya ok jugak cuma sedikit pendiam. Madhi beragama Hindu tapi makan sapi....hehehehe....Menurut Madhi cuma golongan atasan iaitu Brahmin yang tak makan sapi. Sapi tu lembu yer......

Ikut aturcara yang ditetapkan, Chetam n Geng akan dibawa menyaksikan tarian Barung di Batu Bulan pada pukul 9.30pagi. Perjalanan ambil masa hampir sejam. Pemandangan memang cantik. Terlalu banyak patung-patung di sepanjang perjalanan.


Kuta waktu pagi. Chetam n Gang dalam perjalanan nak tengok Barung.


Lagi gambar Kuta.


Ini pula gambar Pura ataupun kuil milik persendirian. Kebanyakan rumah serta kedai mempunyai Pura mereka sendiri untuk tujuan sembahyang sebanyak 3 kali sehari. Bunga-bungaan yang digunakan untuk tujuan sembahyang ini akan diletakkan di kaki-kaki lima. So kalau berjalan kaki, hat-hati agar tidak tersepak atau terlanggar bunga-bungaan ini.


Barung ni sebenarnya seekor harimau, binatang purbakala yang menggambarkan kebaikan.. Masa masuk menyaksikan Tarian Barung ni, Chetam n Gang diberi pilihan sama ada nak teks cerita dalam bahasa melayu atau bahasa inggeris. Kalau nak cerita yang lebih lengkap, baik ambil yang bahasa inggeris. Persembahan Barung ni berlangsung dalam sejam. Berpandukan kepada teks yang diberikan, Chetam faham la cerita yang disampaikan.


Inilah tourist guide kami, Mr John bersama-sama dengan gadis-gadis penyambut tetamu untuk pertunjukkan Barung.


Pemuzik-pemuzik yang mengiringi Pertunjukan Barung.


Rangda, binatang purbakala yang menggambarkan kejahatan sedang bergaduh dengan Sadewa, anak kepada Dewi Kunti. Walaupun rupa Rangda ni menakutkan tetapi kelakar sesangat tengok payudaranya (bukan yang asli yer......dibuat dari kain berbelang warna warni........hehehehe)

Selepas menyaksikan Tarian Barung, Chetam n Gang dibawa melawat kilang batik. Batik di sini adalah kualiti nombor satu so memang mahal. Selain menengok proses membuat batik dijalankan, Chetam juga masuk ke kedai yang disediakan. Memang cantik batik
di situ tapi mahal giler. Tak boleh tawar menawar. So tak beli apa-apa pun.


Sebenarnya macam drama swasta.....hehehehe....bila ada pelancung sampai baru mereka sibuk memproses batik.


Batik tenunan. Benang telah diwarnakan terlebih dahulu mengikut corak yang ditetapkan. Penenun hanya perlu menyusun benang ini. Tidaklah susah sangat tapi ambil masal hampir 3 minggu untuk disiapkan.


Deretan kain-kain batik yang dipamerkan dalam kedai khas. Mahal giler tapi cantiknya pun menggilakan. Batik akan menjadi mahal sekiranya proses mencanting batik dilakukan berulang kali.

Stop sini dulu......Penat.

Chocolate Mint Cake with Fudge Topping sumbangan Mak Lang (Rnet)


Chocolate Mint Cake with Fudge Topping
Sumbangan: Mak Lang(Rnet)
Gambar: Mak Lang
Sumber: Puan Halimah Anang dan Blue Key Self Raising Flour(Rnet - Resepi diambil dari dalam kotak tepung blue key)

Bahan-bahannya
200 gram tepung naik sendiri
230 gram mentega/ majerin
220 gram gula kastor
230 gram telur
3 gram esen vanilla
30 gram serbuk koko
50 gram susu segar
Beberapa titik pewarna hijau
Beberapa titik esen peppermint

Untuk Honey Chocolate Fudge
150 gram coklat masakan
90 gram fresh cream
30 gram mentega
15 gram madu (2 sudu besar)

Cara-caranya
1. Panaskan oven pada suhu 180’C.
2. Alaskan kertas kuih pada loyang pembakar.
3. Pukul tepung naik sendiri yang telah diayak bersama mentega/majerin sehingga menjadi pes yang sebati.
4. Dalam mangkuk yang berasingan, pukul telur dan gula sehingga likat. Masukkan adunan ini dan esen vanilla ke dalam adunan tepung yang telah disediakan tadi dan pukul sehingga ia sebati dan kembang.
5. Bahagikan adunan kepada dua. Satu campurkan dengan serbuk koko dan susu segar, manakala bahagian lagi satu campurkan dengan pewarna hijau dan esen peppermint.
6. Tuang adunan berselang seli kedalam loyang berukuran 8”.
7. Bakar selama 45 – 50 minit.
8. Cara untuk Honey Chocolate Fudge Topping - Campurkan kesemua bahan didalam mangkuk cairkan mengguna teknik double boil. Pukul bahan-bahan selama 5 – 10 minit sehingga fudge menjadi sebati. Fudge yang masih setengah panas boleh anda sapukan diatas dan tepi kek.

Nota Kaki Mak Lang: Tak buat topping cuma tabur badam cincang dan telur yang digunakan adalah sebanyak 3 biji.
Nota Kaki Chetam: Chetam buat kek ni hari ahad lepas tapi tak ambil gambar sebab tertinggal kamera di ofis. Chetam bawa ke ofis pada hari Isnin dan sempat ambil gambar yang sudah dipotong. Nanti Chetam akan tempekkan. Gambar di atas adalah sumbangan Mak Lang. Cantik kan kek Mak Lang. Oh ya....since Chetam tak jumpa esen peppermint, Chetam gantikan ngan esen lemon. Tapi bila makan, tak rasa lemon pun.... hehehehe....Next time kena cuba lagi....Topping pun Chetam tak buat cuma tabur hirisan badam. Chenul dok kutip badam jer...

Cheese Fruit Cake Bebop



Chetam buat kek ni sebanyak 2 biji masa raya lepas. Sebiji untuk Arwah Bapak dan sebiji untuk dibawa ke Medan. Kek ni memang sedap tapi satu adunan tu boleh dapat kek yang kecil jer. Untuk Arwah Bapak, Chetam buat 3 adunan dan hasilnya memang memuaskan. Chetam tabur badam, hazel nut dan cashew nut di atas kek sebelum dibakar. Pertama kali Chetam rasa kek ni semasa di Medan. Memang sedap tapi rasanya kalau tak ada kekacang lagi sedap sebab selepas beberapa hari, kekacang ni pun dah lemau.

Chetam tak sempat ambil gambar dan hari ni baru Chetam perasan yang resepinya dah penah Chetam tempek setahun yang lepas. So kalau nak resepinya, sila klik di sini
Cheese Fruit Cake Bebop

Gambar kek di atas adalah sumbangan Kak Liza.

Nota Kaki Chetam: Cuba jangan tak cuba untuk juadah Hari Raya Aidil Adha. Memang sedap.

November 27, 2006

Bali - Part 1 (17 November 2006)

Tahun lepas, company trip ke Manila tapi Chetam tak pegi sebab masa tu tak ada staff melayu. Company Trip kali ni ke Bali. Chetam ikut sebab ada geng. Tak payah keluar satu sen pun melainkan wang untuk shopping. Chetam tukar duit RM405 dan dapat 1 Juta Rupiah. Chetam dah jadi jutawan!!! Sebenarnya tak derla excited sangat jadi jutawan ni sebab dah selalu sangat dapat title ni bila balik kampung ke Medan.

Bertolak dari ofis dengan teksi ke KL Sentral. Dari KL Sentral jam 1.30 pm dengan menaiki Sky Bus. Tambang semua company tanggung dan kesemuanya ada 14 orang yang ikut company trip kali ni. 8 perempuan dan 6 lelaki. Sampai LCCT dalam pukul 2.30pm so cepat2 cari surau untuk solat Jamak Zohor dan Asar. Pukul 4pm terus masuk balai berlepas. Kalau ikut boarding pass, gate 8 tapi entah kenapa....tengah beratur di depan tiba-tiba pihak Air Asia suruh pindah ke gate 7. Kebetulan antara gate 7 dan 8 ada halangan so lambat terkam, akibatnya kena beratur di belakang. Budak2 ofis yang lain dapat tempat di depan. Hem.....geram betul.

Lepas pesawat ke Bangkok berlepas, langit pun gelap dan hujan turun dengan lebat. Flight delayed. Sepatutnya berlepas jam 4.40pm. So semua yang beratur pun cari tempat untuk duduk. Chetam sebenarnya tak sihat, batuk teruk dan hidung tersumbat. Chetam pi kedai untuk beli Vicks dan juga air mineral. Sempat juga capai 3 bungkus roti krim. Bila sampai tempat duduk, dengar bunyi bell.....terus Chetam lari ke depan dan berbaris.....hehehehe....Chetam menang.....semua kawan satu ofis di belakang Chetam sekarang.

Pukul 5.30pm, naik kapalterbang dan terus berangkat. Baru tahu yang penerbangan mengambil masa hampir 3 jam. Aduh....lamanya, sedangkan ke Medan cuma 55 minit. Sempat pekena nasi lemak yang harganya RM6.00, walaupun mahal dapat juga jadi lapik perut.



Merasa juga tengok matahari terbenam dari tingkap kapalterbang. Cantik banget.



Since sorang geng Chetam ni puasa, Chetam tanya sorang peramugari waktu berbuka puasa. Baik peramugari ni....since dia tak tahu, dia cakap nanti dia tanya kapten kapal. Kapten kapal cakap waktu Malaysia dan Bali sama dan waktu berbuka puasa ialah 6.45pm. Peramugari ni singgah lagi kat seat Chetam and gang, dia bagi tahu kat Bali, semua Restoren McDonald dan KFC adalah halal.

Dekat pukul 8pm, Chetam sampai ke Lapangan Terbang Ngurah Rai. Jauhnya berjalan dari kapalterbang ke Imigresen. Pukul 9pm sampai hotel dan boss suruh turun semula pukul 9.30pm sebab nak pegi dinner. Jenuh berjalan kaki nak mencari makanan Halal tapi tak jumpa. Ada satu restoren, staff dia cakap boleh serve separately untuk makanan Halal tapi masalahnya depa pun jual non Halal food. Walaupun staff tu cakap depa masak berasingan......ish.....tak percayalah. Since dah penat berjalan, Chetam dan geng bagitahu boss dan yang lain, go ahead makan kat restoren tu. Chetam dengan 2 kawan melayu akan patah balik dan makan fast food.

Masuk KFC, Sijil Halal dah expired bulan Ogos. So Chetam cari Mc Donald. Alhamdullilah, Sijil Halal masih laku sehingga 2007. So dinner, kami bertiga makan Fillet Burger. Resit disimpan sebab esoknya nak claim dari boss.

Lepas kenyang terus balik hotel. Lepak kat bilik. Yang geramnya......mata tak boleh tidur. Batuk pun semakin menjadi-jadi.

November 23, 2006

Terima Kasih Tidak Terhingga Di Atas Ucapan Takziah Anda.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Terlebih dahulu Chetam ingin memanjatkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada anda yang sudi membaca luahan isi hati Chetam. Terima kasih juga kerana sudi memberikan ucapan Takziah sama ada melalui ruangan sembang, komen mau pun email. Chetam sanjung tinggi kata-kata semangat yang anda berikan.

Chetam tak dapat nak membalas personally tapi buat pengetahuan anda, walaupun sudah beberapa minggu Chetam mendiamkan diri dari Teratak Chetam tetapi Chetam masih mengikuti perkembangannya.

InsyaAllah, Chetam akan paparkan posting berkenaan sambutan Hari Raya Aidil Fitri di Kota Medan di minggu mendatang. Sebelum itu, Chetam akan ceritakan tentang Company Trip ke Bali minggu lepas. Company Trip ni dah diplankan beberapa minggu sebelum Arwah Bapak meninggal dunia. Hajat memang nak tarik diri tapi kena bayar lebih RM1000 sekiranya berbuat demikian. Buya pun dah beri kebenaran, maka Chetam teruskan juga percutian ke Bali bersama rakan-rakan pejabat.

Chetam akan beri tips serba sedikit dan juga akan paparkan gambar-gambar barangan yang dibeli serta gambar pemandangan.

Sehingga bertemu di posting akan datang.

Salam dari
Chetam

November 09, 2006

AL-FATIHAH BUAT AYAHANDA TERSAYANG, HAJI SHAHAROM



Hari Selasa(31 Oktober 2006), Chetam dapat panggilan talipon dari Kak Ti di Bangi. Ayahanda Chetam terbabit dalam satu kemalangan dan Kak Ti tengah bersiap nak balik ke Taiping. Masa tu Chetam masih lagi berada di Kota Medan. Dengan air mata bercucuran, Buya bawa Chetam ke Wartel terdekat untuk menalipon Kak Tih untuk mendapat berita yang sahih.

Menurut Kak Tih, Ayahanda keluar awal pagi untuk periksa darah di Hospital Taiping dan dalam perjalanan balik, Ayahanda singgah beli ikan di Market Kota. Kemalangan berlaku di persimpangan Traffic Light berdekatan Market Kota. Ayahanda yang naik skuter telah berlanggar dengan sebuah lori kecil. Menurut abang ipar yang baru balik dari hospital, tulang rusuk sebelah kanan telah patah dari pada tulang ketiga hingga ke bawah. Tiada luka di badan melainkan sedikit lebam-lebam.

Chetam cuma dapat berangkat pulang ke LCCT pada hari Rabu(1 November 2006) dan cadangan asal, kalau sampai awal, nak cari bas untuk pulang ke Taiping. Nasib tak menyebelahi Chetam sebab kapalterbang AirAsia lambat sampai ke Medan. Pukul 8.40malam waktu Indonesia, baru kapalterbang berlepas ke LCCT. Mendarat dalam pukul 10.40 malam waktu Malaysia tapi urusan Imigresen melambatkan lagi keadaan. Buya pemegang paspot Indonesia dan malam tu memang ramai yang beratur di kaunter Orang Asing. Chetam, Buya dan Chenul naik teksi yang memang ditempah awal-awal dan sampai ke rumah pukul 12.33 pagi.

Terpaksalah minta teksi tersebut datang kembali sebelah pagi untuk menghantar kami ke Hentian Kajang. Bas bertolak pukul 10.30 pagi tetapi singgah depan Maybank Jalan Tun Perak untuk mengisi penumpang. Pukul 12 lebih baru bas penuh dan mula bergerak meninggalkan Kuala Lumpur. Sampai di Stesyen Kemunting dalam pukul 5 lebih. Kak Jang dan Kak Ti datang jemput dan terus bawa Chetam ke Hospital Taiping.

Ayahanda dah dimasukkan ke dalam Wad ICU dan bergantung sepenuhnya bantuan alat pernafasan. Sedih dan pilu tengok Ayahanda yang dipenuhi wayar. Bersih muka Ayahanda. Chetam pegang tangan dan bagitahu yang Chetam dah sampai. Buya pun cakap dengan Ayahanda. Terasa yang Ayahanda membalas genggaman tangan Chetam dan mata yang tertutup rapat nampak bergerak-gerak. Ayahanda telah diberikan ubat tidur oleh doktor tapi Ayahanda tahu yang Chetam dan Buya ada di sisi.

Doktor berjumpa dengan Abang Lang untuk meminta kebenaran bagi menebuk lubang kecil di leher Ayahanda bagi memasukkan tiub pendek. Abang Lang terpaksa merujuk kepada Abang Chak dan Abang Chik. Kebenaran telah diperolehi. Chetam balik ke rumah dan Buya di bawa ke rumah Abang Chak kerana ada majlis Bacaan Yassin.

Malam tu, tiba-tiba anak sulung Kak Tih mengamuk nak air coke sedangkan beliau ada penyakit penat. Nak air coke yang bapak dia beli sendiri. Bila diberitahu yang bapaknya berada di hospital jaga Tok Wan, dia mengamuk nak Tok Wan balik ke rumah. Tak berapa lama kemudian Suami Kak Tih talipon dan bagi tahu yang Doktor nak melakukannya pembedahan bagi menyedut paru-paru Ayahanda yang dimasuki air. Peluang hanyalah 50 - 50 dan doktor minta semua anak-anak Ayahanda berkumpul. Masa ini lah anak Abang Lang yang darjah 1 mengamuk dan ikut tengok Tok Wan. Chenul pun mengamuk nak ikut. Terpaksala Chetam masuk rumah semula untuk tidurkan Chenul dulu. Biasanya Chenul akan tidur lena. Chetam ikut kereta Abang Chik yang baru sampai dari Kuala Lumpur. Dua kakak ipar tinggal di rumah untuk jaga cucu-cucu Ayahanda.

Bila sampai di Hospital, kami semua menunggu diluar kecuali Buya yang dibenarkan masuk untuk membaca Surah Yassin. Dekat pukul 1 pagi baru kami dibenarkan naik ke atas untuk bertemu Ayahanda secara bergilir-gilir. Masa Chetam masuk ke Wad ICU, Buya tengah mengajar Ayahanda MENGUCAP. Bercucuran air mata Buya masa tu. Chetam tengok kat skrin ada 3 garisan. 2 garisan di bawah sudah menunjukkan angka kosong iaitu garisan lurus. Garisan yang teratas masih ada bacaan tetapi ianya semakin menurun. Kaki Ayahanda dah dingin. Bila bacaan garisan teratas sudah kosong, Nurse suruh kami keluar kecuali Buya yang masih bersama Ayahanda. Doktor datang dan kemudian Buya keluar sambil menangis, terus bersalam dengan Abang Cik dan memeluknya. Tahulah kami yang Ayahanda telah pergi buat selama-lamanya.

Menurut Buya, Ayahanda sempat mengucap dan pergi dengan tenang sekali. Sepatutnya Jenazah Ayahanda dibedah siasat tapi abang-abang Chetam tak benarkan. Biarlah Ayahanda pergi dengan aman.

Ayahanda Chetam meninggal dunia pada pukul 1.25 pagi Jumaat yang mulia. Jenazah tak sempat dikebumikan selepas solat Jumaat sebab lambat keluar dari Hospital disebabkan ketiadaan doktor untuk mengesahkan. Jenazah Ayahanda dikebumikan selepas Solat Asar di Masjid Simpang berdekatan dengan kubur Allahyarhamah Bonda Chetam.

Chetam redha dengan pemergian Ayahanda kerana Chetam tahu Ayahanda amat merindui Bonda Chetam. Setiap hari Ayahanda tak lupa melawat kubur bonda dan menyedekahkan bacaan Al Quran. Kak Tih bagi tau yang Ayahanda pernah jatuh di tanah perkuburan semasa melawat Bonda tapi Ayahanda diamkan saja. Kak Ti bagi tahu yang dia terjumpa gambar Bonda di dalam laci almari di dalam bilik Ayahanda. Gambar itulah yang dibelek setiap hari.

Ayahanda bagitahu Kak Tih yang Ayahanda nak pakai baju Melayu warna putih di pagi Raya dan Kak Tih dah siapkan. Ayahanda bangun awal, siap berpakaian dan menangis sorang-sorang di dalam bilik. Bila dah reda, Ayahanda duduk di sofa seperti menantikan kehadiran anak-anak untuk memohon ampun maaf. Masa tu, abang-abang Chetam belum balik dari Solat Raya. Selepas abang sulung Chetam datang beraya ke rumah baru Ayahanda mula ceria. Sedihnya sebab inilah pertama kali Chetam tidak beraya dengan Ayahanda sebab beraya di Medan.

Ayahanda tidak pernah menyusahkan anak-anak. Wang untuk majlis Tahlil dan sedekah telah Ayahanda siapkan terlebih dahulu. Wang sedekah telah dimasukkan dalam sampul surat berwarna coklat. Selepas ketiadaan Ayahanda baru kami tahu tentang wang tersebut.

Chetam minta maaf kerana posting kali ini sedikit panjang. Chetam baru mula kerja hari ini. Chetam ingin beri sedikit nasihat pada anda yang sudi menerimanya.

Jika anda seorang anak lelaki, janganlah terlalu mengikut telunjuk isteri sehingga mengabaikan kedua ibubapa. Ibubapa kita tidak ingin menyusahkan kita tapi apalah salahnya jika kita luangkan sedikit masa untuk melawat mereka. Bagaimana perasaan ibubapa anda apabila nampak kereta anda meluncur terus melepasi rumah ibubapa anda menuju ke rumah mertua sedangkan kedua-dua mertua anda sudah tiada lagi di dunia ini? Anda lebih selesa berada di samping ipar duai berbanding ibubapa sendiri. Jangan selepas ketiadaan mereka, baru anda rasa terkilan dan menyesal.

Jika anda seorang menantu perempuan, janganlah anda terlalu mengongkong suami anda sehingga singgah sekejap pun tidak boleh. Bila di rumah mertua, anda macam cacing kepanasan. Tak mahu duduk sekejap. Asyik ajak balik. Perbuatan anda sedikit sebanyak telah meremukkan hati mertua anda.